Skip to main content

Malaysia

Pelantikan bekas hakim beri sinar baharu kepada SPRM – PN

Takiyuddin Hassan
PN turut menekankan keperluan agar kes-kes berprofil tinggi serta isu berkaitan kepentingan awam disiasat secara telus dan profesional, dengan tindakan sewajarnya diambil tanpa kompromi. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelantikan bekas Hakim, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu sebagai satu perkembangan positif yang mampu memberi nafas baharu kepada institusi antirasuah negara itu.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, latar belakang kehakiman dan pengalaman luas dalam bidang perundangan menjadikan pelantikan tersebut satu langkah yang berpotensi memperkukuh integriti, ketegasan serta profesionalisme SPRM.

Advertisement

“PN percaya pelantikan ini boleh membawa sinar baharu kepada SPRM ke arah memperkukuh integriti dan keyakinan rakyat terhadap institusi ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, rakyat menaruh harapan agar SPRM dapat dipimpin dengan lebih bebas, adil dan berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang, sekali gus mengurangkan persepsi negatif yang wujud sebelum ini.

Dalam masa sama, PN menegaskan, pelantikan tersebut perlu menjadi titik tolak kepada usaha lebih menyeluruh bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas, berwibawa dan dihormati.

“Rakyat mahu melihat siasatan dijalankan tanpa memilih bulu, tanpa campur tangan politik serta tanpa layanan berbeza berdasarkan kedudukan atau pengaruh,” katanya.

PN turut menekankan keperluan agar kes-kes berprofil tinggi serta isu berkaitan kepentingan awam disiasat secara telus dan profesional, dengan tindakan sewajarnya diambil tanpa kompromi.

Dalam pada itu, PN turut menyuarakan cadangan penambahbaikan termasuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang, meningkatkan ketelusan pelantikan serta memperkasa perlindungan pemberi maklumat bagi memperkukuh kredibiliti SPRM.

Tambah beliau, usaha berterusan membanteras rasuah perlu disokong semua pihak demi memastikan institusi antirasuah negara setanding dengan agensi terbaik di peringkat antarabangsa.

Must Watch Video