Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan rakyat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sentiasa memandang serius rungutan rakyat berhubung kenaikan harga barangan.

Justeru katanya, penguatkuasaan sentiasa dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memantau situasi tersebut.

“KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan di mana-mana premis perniagaan yang menjual produk makanan dan sebagainya untuk memastikan harga makanan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga.

“Jika ada peniaga yang mengambil peluang menaikan harga, sila hubungi pejabat KPDNHEP yang berhampiran atau hubungi terus KPDNHEP supaya tindakan tegas boleh diambil kepada para peniaga,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Dalam sidang media sama, Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi sepanjang tempoh PKP, sekali gus menafikan laporan bahawa bekalan makanan tidak mencukupi.

“Saya ingin memberi jaminan daripada kenyataan dan laporan yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA), saya ingin nyatakan makanan adalah mencukupi dan rakyat tidak perlu bimbang.

“Rakyat jangan ragu-ragu tentang bekalan makanan, kerana jelas berdasarkan kenyataan MOA menunjukkan bahawa tiada pembelian panik,” katanya.