Skip to main content

Malaysia

Azalina harap BHEU naik taraf jadi kementerian penuh 2027

Azalina
Azalina berharap agar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) dapat dinaik taraf menjadi sebuah kementerian penuh menjelang tahun hadapan. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap agar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) dapat dinaik taraf menjadi sebuah kementerian penuh menjelang tahun hadapan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan tadbir urus undang-undang negara dapat bergerak dengan lebih efektif dan holistik demi perlindungan serta kesejahteraan rakyat.

Advertisement

Menurut Azalina, status kementerian penuh akan memberikan autonomi yang lebih besar melalui struktur pentadbiran yang lebih tersusun, termasuk pelantikan Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Bahagian yang khusus.

"Harapan saya, doa saya agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menunaikan janji selepas Pilihan Raya untuk menjadikan BHEU ini sebagai satu kementerian.

"Tiada gunanya kita mempunyai agensi yang hebat seperti Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi, dan BHEU di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) jika ia tidak disatukan di bawah satu kementerian tersendiri untuk bergerak lebih efektif membantu rakyat," katanya.

Azalina berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice On Wheels (JoW) Dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menekankan bahawa perundangan adalah elemen yang sangat penting bagi rakyat dan tidak seharusnya dilihat sebagai fungsi sampingan di bawah JPM semata-mata.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menyuarakan perkara itu demi kepentingan kedaulatan undang-undang.

Mengulas lanjut, Azalina ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran memaklumkan, syor ini bukanlah pendirian rasmi mana-mana parti politik, sebaliknya satu keperluan teknikal yang dilihat daripada perspektif tadbir urus undang-undang.

"Saya harap dapat kita laksanakan satu kementerian untuk bahagian undang-undang. Itu pandangan peribadi saya, bukan pandangan parti," katanya.

Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Anwar mengumumkan kerajaan sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang- Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

Beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Forum UndangUndang ASEAN 2025 berkata, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.

Must Watch Video