Skip to main content

Malaysia

Justice On Wheels ke semua Parlimen, Azalina mahu akses guaman dekati rakyat

Azalina JOW
Azlina (dua, kanan) hadir pada Majlis Penyerahan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice On Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman di Putrajaya pada Isnin. -Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Program Kembara Justice On Wheels (JoW) dicadangkan supaya digerakkan ke semua kawasan Parlimen sebagai langkah awal bagi memastikan perkhidmatan guaman dapat disampaikan secara lebih menyeluruh kepada rakyat di peringkat daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelaksanaan program itu wajar dilaksanakan dengan kerjasama Ahli-Ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang politik, tertakluk kepada penjadualan dan perancangan yang ditetapkan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman.

Advertisement

“Dalam satu daerah, kadang kala terdapat dua atau tiga kawasan Parlimen. Jadi, kerjasama di peringkat Parlimen amat penting supaya gerakan ini dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Azalina berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice On Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman di Putrajaya pada Isnin.

Menurut beliau, program JoW diperkenalkan bagi mengatasi kekangan jarak dan kos yang dihadapi rakyat, khususnya di luar bandar, untuk mendapatkan khidmat guaman, memandangkan kebanyakan pejabat Jabatan Bantuan Guaman negeri terletak di bandar utama.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata sebagai contoh di Johor, jarak perjalanan dari Johor Bahru ke daerah Kota Tinggi, yang meliputi Parlimen Pengerang, Tenggara dan Kota Tinggi, boleh mencecah sehingga 50 kilometer.

“Dengan isu kos sara hidup dan harga bahan api ketika ini, kita berharap menerusi JoW, Jabatan Bantuan Guaman di peringkat negeri dapat turun ke daerah-daerah bagi memperbanyakkan penyampaian khidmat guaman kepada rakyat,” katanya.

Menurut Azalina, pihaknya mencadangkan agar program JoW dilaksanakan secara berperingkat mengikut kawasan Parlimen, dengan mengambil kira keupayaan logistik serta jadual yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman.

“Tidak kisah Parlimen kerajaan atau pembangkang, yang penting kita beri khidmat guaman kepada rakyat. Soal masa dan pergerakan itu tertakluk kepada perancangan jabatan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan tersebut sejajar dengan usaha kerajaan memperluaskan akses kepada keadilan serta memastikan perkhidmatan guaman tidak hanya tertumpu di bandar, sebaliknya dapat dirasai oleh masyarakat di seluruh negara.

Must Watch Video