NATIONAL
Azam Baki junjung kasih atas pelantikan semula sebagai KP SPRM, ikrar terus banteras rasuah

Azam menyifatkan perkenan itu sebagai satu penghormatan besar kepada dirinya dan seluruh warga SPRM. - Gambar fail/Sinar Harian
PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan melantik semula beliau bagi tempoh setahun, berkuat kuasa esok hingga 12 Mei 2026.
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Azam bagi tempoh setahun lagi, sehingga 12 Mei 2026.
- Azam menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan dan berikrar untuk menerajui usaha SPRM dalam membanteras rasuah serta salah guna kuasa.
- SPRM komited dalam meningkatkan skor CPI Malaysia agar negara terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.
"Dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya akan terus menerajui usaha SPRM membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera," katanya.
Azam turut mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang cemerlang.
Pada 9 Mei lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa esok (13 Mei).
Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula ke jawatan itu masing-masing bagi tempoh setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Azam berkata SPRM turut komited meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami