Meskipun Penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Yusoff membuat kenyataan dilaman Twitternya bahawa beliau tidak disenarai bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Namun Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata keputusan kerusi belum dimuktamadkan.

"Itu mungkin pandangan beliau (Yusmadi) di twitter tetapi parti akan memuktamadkan calon"

"Calon bertanding di Pulau Pinang akan diumumkan Ketua Pembangkang(Datuk Seri Anwar Ibrahim) hari ini, termasuk kerusi yang akan ditandinginya," kata Azmin pada Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Mengulas mengenai pengumuman calon PKR, Azmin berkata ia akan dimuktamadkan hujung minggu ini.

"PKR , PAS dan DAP akan bertemu secara bersiri untuk meneliti kerusi yang masih lagi bertindih. Saya yakin kita akan selesai cara baik"

Tambah Azmin pemilihan calon kali ini akan dibuat lebih teliti bagi mengelakkan kejadian lompat parti pada PRU12 2008 tidak berulang lagi.

PKR katanya akan memilih calon yang berwibawa dan komited dengan parti.