Skip to main content

Malaysia

Azrin Khairi dizahirkan Undang Luak Jelebu ke-17

Azrin bersama isteri diarak anggota rombongan Undang Luak Jelebu dengan iringan rebana dan paluan kompang bagi Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini.  - Foto Bernama
Azrin bersama isteri diarak anggota rombongan Undang Luak Jelebu dengan iringan rebana dan paluan kompang bagi Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
  • Baginda menegaskan kepentingan kesinambungan kepimpinan adat, kelangsungan warisan, serta kesetiaan kepada institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
  • Azrin, berpengalaman 26 tahun di Telekom Malaysia, memiliki MBA dan kini melanjutkan pengajian DBA di Open University Malaysia.

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Terdahulu, Azrin bersama isteri Datin Norazizan Mamat diarak ke istana oleh lebih 200 anggota rombongan Undang Luak Jelebu dengan iringan rebana dan paluan kompang sebelum Orang Empat Istana menghadap Tuanku Muhriz membawa tepak sireh untuk memohon perkenan memulakan istiadat.

Istiadat diteruskan dengan Azrin menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda sebelum menerima penzahiran sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 dengan gelaran Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman.

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz bertitah penzahiran itu merupakan kesinambungan kepimpinan adat serta mencerminkan kelangsungan warisan dan tradisi yang sekian lama menjadi pegangan masyarakat Luak Jelebu.

Baginda yakin Undang Luak Jelebu itu akan menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan kebijaksanaan, selain sentiasa menginsafi amanah yang dipikul.

"Keharmonian adat serta kesejahteraan anak buah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, manakala setiap perselisihan atau permasalahan perlu ditangani secara adil, matang dan berhemah.

"Dalam menjalankan tugas, Orang Kaya Beta hendaklah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta ketetapan dan peraturan adat yang berkuat kuasa di Jelebu," titah baginda pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin.

Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Tuanku Muhriz turut menegaskan kepentingan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta hubungan yang sentiasa terpelihara antara kepimpinan adat dengan baginda dan istana.

Baginda bertitah persefahaman dipupuk melalui sikap saling menghormati, kepercayaan dan semangat muafakat akan menjadi landasan kukuh bagi mempertahankan keluhuran adat, memperteguh institusi pemerintahan beraja dan menjamin kesejahteraan negeri untuk generasi kini dan akan datang.

"Beta menyeru seluruh masyarakat di Luak Jelebu, Luak-Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung supaya terus memberikan sokongan kepada kepimpinan adat dalam memastikan urusan adat dilaksanakan dengan teratur, sempurna dan penuh rasa tanggungjawab.

"Beta berharap agar hubungan persaudaraan sentiasa dieratkan, perbezaan diselesaikan melalui perundingan dan semangat kebersamaan terus diperkukuh," titah baginda.

Azrin, 51, mempunyai pengalaman selama 26 tahun di Telekom Malaysia dan kini memegang jawatan Pengurus Pengembangan Strategik dan Pembangunan Ekosistem Perniagaan, Unit Consumer, Wilayah Pantai Timur.

Beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta sedang melanjutkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement