KUALA LUMPUR: Datuk Azry Akmar Ayob dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 7 Ogos depan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata Azry Akmar akan memangku pangkat DCP.

Beliau berkata Azry Akmar sebelum ini merupakan Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dilantik sebagai Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) JSJN Bukit Aman SAC Mazleen Mohd Nasir pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan Siasatan) JSJN Ibu pejabat Polis Bukit Aman.

"Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan Siasatan) JSJN Bukit Aman SAC Mohd Faisal Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Keselamatan Juruiring Yang di-Pertuan Agong Istana Negara, Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur ACP Mohd Azani Omar dilantik sebagai Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong dengan memangku pangkat SAC.

Noorsiah berkata kesemua pertukaran jawatan berkenaan juga berkuat kuasa 7 Ogos depan.

-- BERNAMA