Skip to main content

Malaysia

"Baca, baca dan baca, mungkin itu pesanan ayah" - Anak A Samad Said

Az Abd Samad ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di ibu negara, hari ini. - Foto Astro AWANI
Az Abd Samad ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di ibu negara, hari ini. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, meninggal dunia pada usia 94 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada Selasa petang.
  • Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar pukul 10.53 pagi ini.
  • Anaknya, Az Abd Samad, menekankan pesan Allahyarham mengenai kepentingan membaca sebagai amalan utama dalam memperkaya ilmu dan pengalaman.
Advertisement

KUALA LUMPUR: “Baca, baca dan baca” merupakan antara pesan yang mungkin akan ditinggalkan oleh Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said kepada masyarakat dan generasi akan datang.

Anaknya, Az Abd Samad, 45, berkata budaya membaca dan menelaah tidak pernah dilupakan bapanya sehingga ke usia lanjut, malah terdapat buku yang dibaca berulang kali oleh Allahyarham.

“Tetapi ayah saya barangkali mungkin akan berkata, 'baca, baca dan baca'.

Advertisement

“Yang paling penting, ayah sehingga usianya yang lanjut, dia tidak berhenti membaca dan menelaah buku, dan kadang-kadang buku itu dibaca berulang-ulang,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Menurut Az, amalan tersebut menjadi antara teladan paling penting yang boleh diwarisi masyarakat daripada Allahyarham, khususnya dalam usaha meningkatkan ilmu dan memperkayakan pengalaman.

Advertisement

“Jadi kita pada peringkat apa pun, kita sentiasa boleh meningkatkan ilmu dan pengalaman kita daripada pengalaman orang lain melalui buku dan bacaan,” ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut, Az turut menyifatkan bapanya sebagai seorang insan yang amat jujur dengan dirinya sendiri, selain sentiasa memberikan ruang kepada anak-anak untuk belajar daripada kesilapan.

Image
FB A SAMAD SAID_1
Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, meninggal dunia pada usia 94 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada Selasa petang.

Ujarnya, walaupun bapanya dikenali ramai menerusi pentas, televisyen dan pelbagai acara seni, tetapi keluarga mengenali Allahyarham sebagai seorang bapa yang sentiasa menunjukkan teladan dan memberikan nasihat apabila diperlukan.

“Bagi saya dan keluarga, beliau adalah ayah yang amat jujur dengan dirinya sendiri. Beliau tahu memberi contoh dan nasihat bila perlu, dan kadang-kadang memberi peluang kepada kami untuk belajar sendiri daripada kesilapan.

“Saya bersyukur kerana dapat berkongsi banyak masa dan pengalaman bersama beliau,” kata Az.

Dalam pada itu, Az turut berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang menzahirkan ucapan takziah dan menitipkan doa buat Allahyarham bapanya.

Allahyarham A Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, 94, menghembuskan nafas terakhir pada Selasa petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar pukul 10.53 pagi ini.

Must Watch Video

Advertisement