Ringkasan AI
- Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) oleh Jabatan Alam Sekitar kekal sebagai rujukan rasmi kerajaan untuk status kualiti udara dan pengurusan jerebu negara.
- IPU ditentukan melalui pemantauan 24 jam di 68 stesen seluruh negara menggunakan piawaian antarabangsa, dengan data dikemas kini setiap jam dan diaudit secara berkala.
- Kerajaan mengamalkan toleransi sifar terhadap pembakaran terbuka, dengan 3,433 tindakan penguatkuasaan diambil dari Ogos hingga Oktober tahun ini.
KUALA LUMPUR: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kekal sebagai rujukan rasmi kerajaan bagi menentukan status kualiti udara dan pelaksanaan tindakan pengurusan jerebu negara, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata IPU rasmi ditentukan berdasarkan kepekatan enam pencemar utama yang dipantau secara berterusan 24 jam sehari melalui 68 stesen pemantauan di seluruh negara bagi menjamin ketepatan dan integriti data kualiti udara.
“Stesen tersebut dilengkapi peralatan pengukuran yang menggunakan kaedah dan piawaian teknikal yang diiktiraf oleh United States Environmental Protection Agency (USEPA) dan sah daripada segi perundangan serta sains.
“Pengoperasian stesen turut melibatkan penyelenggaraan, penentukuran peralatan, pemeriksaan prestasi instrumen serta pelaksanaan prosedur jaminan dan kawalan kualiti bagi memastikan data digunakan dalam pengiraan IPU rasmi adalah tepat dan boleh dipercayai,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Arthur menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk memastikan bacaan IPU rasmi Malaysia adalah tepat, telus dan diyakini masyarakat.
Selain itu, beliau berkata operasi dan penyelenggaraan stesen dikawal selia melalui Pelan Projek Jaminan Kualiti (QAPP) dan protokol itu merangkumi semakan sifar dan rentang automatik pada setiap hari.
“Penentukuran berkala dengan gas piawai yang boleh dikesan kepada piawaian metrologi antarabangsa di bawah National Institute of Standards and Technology (NIST) serta audit prestasi yang berkala,” katanya.
Arthur berkata data yang direkodkan dipantau secara berterusan melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar (EDC) bagi mengesan perubahan bacaan, memantau prestasi peralatan serta membolehkan tindakan pembetulan dilaksanakan jika terdapat gangguan atau ketidaknormalan data.
“Bacaan IPU rasmi dikemas kini setiap jam manakala pengiraan IPU bagi parameter PM2.5 dan PM10 adalah berdasarkan kepekatan purata bergerak 24 jam. Ini selaras dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta amalan agensi alam sekitar antarabangsa,” katanya.
Berhubung perbezaan bacaan IPU rasmi dengan bacaan daripada platform seperti Air Quality Index (AQI) atau aplikasi bebas lain, Arthur berkata perbezaan itu tidak semestinya menunjukkan ketidaktepatan pada bacaan IPU rasmi.
“Sebaliknya, perbezaan berlaku disebabkan platform itu mungkin menggunakan skala berbeza meliputi nilai ambang, kategori, tempoh purata, waktu kemas kini serta sumber data yang berbeza selain sesetengah platform menggunakan sensor yang kos rendah atau anggaran yang berasaskan model atau data satelit,” katanya.
Beliau berkata data satelit mengukur ketumpatan partikel di atmosfera dan bukan kualiti udara sebenar pada paras bumi tempat manusia bernafas selain data satelit mempunyai kelemahan seperti boleh dipengaruhi faktor seperti awan serta kelembapan atmosfera.
Sementara itu, Arthur berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa terbuka untuk menambah baik Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dari semasa ke semasa bagi memastikan mekanisme penyelarasan dan langkah perlindungan kekal relevan serta responsif terhadap perkembangan situasi jerebu.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan setiap agensi dapat diselaraskan dengan lebih berkesan, khususnya apabila bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat atau sangat tidak sihat demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengenai tindakan domestik bagi menangani kejadian jerebu dan kebakaran terbuka, beliau berkata kerajaan mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap aktiviti pembakaran terbuka, dengan JAS telah mengambil 3,433 tindakan penguatkuasaan berhubung insiden pembakaran terbuka dari Ogos hingga Oktober tahun ini.
-- BERNAMA