KUALA TERENGGANU: Berbaki sembilan malam terakhir Ramadan, masjid dan surau terus menjadi tumpuan orang ramai bagi mengejar malam Lailatul Qadar.

Di Masjid Buluh Gading, Kuala Terengganu solat tarawih yang ringkas dan cepat menjadikan masjid berkenaan terus tumpuan dan pilihan ramai.

Setiap malam, dianggarkan hampir 500 jemaah pelbagai lapisan umur membanjiri masjid berkenaan sejak awal Ramadan.

Imam Masjid Buluh Gading, Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata solat tarawih yang dilaksanakan secara ringkas itu bagi menggalakkan orang ramai termasuk golongan muda dan uzur hadir bersama-sama menunaikan ibadat berkenaan.

Solat tarawih yang ringkas dan cepat menjadikan Masjid Buluh Gading, Kuala Terengganu terus tumpuan.

Katanya, bacaan surah-surah pendek merupakan tradisi yang telah lama diamalkan di masjid berkenaan dengan solat tarawih lapan rakaat dan tiga rakaat witir biasanya hanya memakan masa kira-kira 20 minit.

"Di sini biasanya dalam 20 minit solat tarawih sudah selesai, sebab di sini tidak ada tazkirah seperti tempat lain dan bacaan pula surah yang pendek.

"Bacaan yang pendek itu bagi memendekkan masa supaya jemaah yang uzur dan sebagainya tidak menunggu lama," katanya.

Solat sunat tarawih di masjid berkenaan akan bermula sekitar jam 8.45 malam dan selesai jam 9.05 malam berbanding masjid atau surau lain yang lazimnya akan selesai pada jam 9.30 malam.

Solat yang ringkas dan cepat itu juga menarik jemaah dari daerah yang lain untuk turut sama menunaikan solat tarawih di masjid berkenaan.