Ringkasan AI
- Badan Kehakiman Malaysia akan mengeluarkan arahan amalan baharu mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam prosiding undang-undang dalam beberapa minggu lagi.
- Ketua Hakim Negara menegaskan AI tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia dalam membuat keputusan kehakiman, khususnya dalam memastikan keadilan dan perlindungan hak individu.
- Peguam dan pegawai mahkamah perlu mematuhi garis panduan penggunaan AI, manakala hakim telah mempunyai panduan tersendiri berkaitan teknologi tersebut.
KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman Malaysia akan mengeluarkan arahan amalan baharu berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh peguam dan pegawai mahkamah dalam prosiding undang-undang dalam tempoh beberapa minggu lagi, kata Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Beliau berkata langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap kebolehpercayaan hujahan undang-undang yang dijana teknologi berkenaan yang mungkin kelihatan meyakinkan walaupun mengandungi maklumat tidak tepat.
“Pada masa ini, AI berupaya menghasilkan hujahan undang-undang yang kelihatan tersusun dan meyakinkan namun sebenarnya mengandungi fakta salah. Sehubungan dengan itu, pihak badan kehakiman akan mengeluarkan arahan amalan berkaitan penggunaan AI dalam prosiding undang-undang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2026 di sini hari ini.
Wan Ahmad Farid berkata meskipun teknologi dapat membantu mempercepat urusan pentadbiran keadilan, ia tidak seharusnya mengambil alih pertimbangan manusia, khususnya dalam keadaan yang memerlukan mahkamah membuat keputusan berdasarkan budi bicara kehakiman.
Beliau memberikan contoh reformasi undang-undang Malaysia pada 2023 yang memansuhkan hukuman mati mandatori bagi menunjukkan betapa pentingnya budi bicara hakim dalam memastikan keadilan, iaitu melalui reformasi itu, hakim diberi ruang untuk mempertimbangkan keadaan setiap kes secara individu dan tidak lagi terikat dengan hukuman mati yang diwajibkan oleh undang-undang.
Wan Ahmad Farid berkata teknologi juga tidak berupaya menggantikan pertimbangan manusia dalam proses menegakkan keadilan terutamanya apabila mahkamah perlu memastikan hak individu yang dituduh dilindungi tanpa mengabaikan kepentingan mangsa.
“Tiada program komputer yang mampu memahami penderitaan dialami mangsa dengan memberikan keadilan sewajarnya, mahupun mempertimbangkan hukuman terhadap tertuduh dengan penuh belas ihsan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan hakim dan pengamal undang-undang supaya sentiasa menjunjung integriti intelektual, terutamanya ketika teknologi semakin mengubah landskap profesion perundangan.
Wan Ahmad Farid berkata bagi golongan hakim, mereka perlu memastikan setiap penghakiman dibuat berlandaskan penelitian sewajarnya terhadap fakta dan undang-undang termasuk menjawab hujah-hujah yang bercanggah dengan keputusan mereka.
Pihak peguam pula, katanya, perlu memastikan setiap rujukan kepada autoriti undang-undang dibuat dengan tepat serta memberikan nasihat yang telus kepada anak guam terutama apabila kedudukan undang-undang masih belum dapat dipastikan.
Wan Ahmad Farid berkata hakim juga perlu memutuskan sesuatu kes berlandaskan undang-undang dan bukti yang dikemukakan tanpa tunduk kepada tekanan awam mahupun campur tangan pihak luar.
Ketika ditemui pemberita, beliau berkata arahan amalan baharu itu akan terpakai kepada pengamal undang-undang dan pegawai mahkamah manakala hakim telah memiliki garis panduan tersendiri yang mengawal penggunaan AI.
“Kita tidak akan menghalang penggunaan AI, malah menggalakkannya namun perlu ada garis panduan yang mesti dipatuhi. Teknologi ini mampu mempercepat prosiding mahkamah serta membantu hakim dan peguam menjimatkan masa, asalkan digunakan secara bertanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kebergantungan berlebihan terhadap AI boleh menjejaskan keupayaan manusia untuk berfikir secara rasional dan kritis.
-- BERNAMA