KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 perusahaan didakwa terlibat dalam pakatan kartel tipuan bida membabitkan 30 tender pembekalan makanan bernilai keseluruhan RM108.3 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tender berkenaan termasuk pembekalan makanan bermasak ke sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menurut beliau, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 16 perusahaan terbabit pada 13 Oktober 2026 susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti kartel tipuan bida.
Katanya, tender berkenaan dibuka oleh 12 entiti sektor awam, merangkumi enam kementerian, tiga IPTA, dua Jabatan Agama Islam Negeri dan satu Badan Berkanun Persekutuan.
"Antara bukti yang diperoleh MyCC adalah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk harga bidaan yang dicadangkan serta perkongsian kewangan dan sumber manusia antara perusahaan yang terlibat.
"Perusahaan-perusahaan ini kini diberi peluang untuk mengemukakan representasi kepada MyCC.
"Keputusan akhir akan dikeluarkan selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan," beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sementara itu, beliau memaklumkan MyCC sedang aktif menyiasat 510 syarikat lain yang disyaki terlibat dalam aktiviti sama, membabitkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta.
"Termasuk keputusan terbaharu ini, statistik jumlah keseluruhan meliputi keputusan cadangan dan keputusan akhir menunjukkan MyCC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat dalam isu tipuan bida yang melibatkan jumlah penalti sebanyak RM98.49 juta," katanya lagi.