Skip to main content

Berita

Polis KL lakukan pemprofilan pelajar kerap ponteng, tercicir sekolah

Fadil ketika berucap pada program Pelajar Pemacu Negara: ‘Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan’ di sini, pada Rabu. - Foto  Ikqwan Lee
Fadil ketika berucap pada program Pelajar Pemacu Negara: ‘Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan’ di sini, pada Rabu. - Foto Ikqwan Lee

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis Kuala Lumpur akan memprofil kira-kira 10 peratus pelajar ibu negara yang kerap ponteng dan tercicir sekolah untuk mengenal pasti punca masalah.
  • Unit Rondaan Bermotosikal dan Kereta Peronda Polis digerakkan ke 348 sekolah dengan rondaan tiga hingga empat kali seminggu untuk mendekati pelajar dan berbincang dengan guru disiplin.
  • Jumlah Pegawai Perhubungan Sekolah akan ditambah kepada lima setiap sekolah, selain kebimbangan terhadap ancaman digital dan akses pelajar ke web gelap.

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan menjejaki dan melakukan pemprofilan terhadap kira-kira 10 peratus pelajar di ibu negara yang dikenal pasti kerap ponteng serta tercicir daripada sistem persekolahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata langkah itu bertujuan mengenal pasti punca sebenar keciciran pelajar terbabit, sekali gus membantu mencari penyelesaian bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan lebih agresif dengan menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Kereta Peronda Polis (MPV) untuk melakukan rondaan di kawasan 348 sekolah di ibu negara.

Katanya, rondaan dilakukan tiga hingga empat kali seminggu bagi pelbagai tugasan, termasuk mendekati pelajar, memberi nasihat serta berbincang dengan guru disiplin.

“Kita mengambil pendekatan agresif dengan menggerakkan elemen operasi termasuk URB dan MPV masuk secara terus ke dalam perkarangan 348 buah sekolah di seluruh ibu kota.

“Kekerapan rondaan boleh dikatakan tiga hingga empat kali seminggu untuk penugasan yang pelbagai termasuk berjumpa, memberi nasihat, berbincang dan melakukan pemeriksaan bersama guru disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pelajar Pemacu Negara: ‘Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan’ di sini, pada Rabu. 

Dalam pada itu, Fadil berkata, jumlah Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan ditambah daripada seorang atau dua pegawai sebelum ini kepada lima pegawai bagi setiap sekolah.

Sementara itu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap ancaman digital yang semakin mencabar, khususnya pendedahan pelajar kepada dunia siber tanpa sempadan.

Katanya, terdapat pelajar yang didapati mampu mengakses maklumat sehingga ke peringkat web gelap atau dark web.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin negara berdepan tanggungjawab dan cabaran besar untuk membentuk dasar serta polisi yang jelas bagi mengawal selia ancaman berkenaan, sekali gus mengelakkan kesannya daripada terus mempengaruhi pemikiran generasi muda.

Must Watch Video

Advertisement