Skip to main content

Malaysia

JKDM rampas bunga ganja, ketamin bernilai lebih RM1 juta di KLIA

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Aspalila Ag Tuah (dua, kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis bunga ganja pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo hari ini.  - Foto Bernama
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Aspalila Ag Tuah (dua, kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis bunga ganja pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • JKDM KLIA berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja dan ketamin seberat 16.39 kg bernilai RM1.03 juta.
  • Dadah disorok dalam bungkusan yang diikrar sebagai kasut, barang permainan, sepana paip dan peralatan, menggunakan alamat palsu dan tidak lengkap.
  • Dua kereta Mini Cooper S bernilai RM180,000 disita kerana diseludup tanpa permit import sah dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja dan ketamin seberat 16.39 kilogram (kg) bernilai RM1.03 juta. 

Pengarah Kastam KLIA Aspalila Ag. Tuah berkata kes pertama melibatkan rampasan tujuh bungkusan kotak mengandungi 7.28 kg bunga ganja bernilai RM582,400 di Pusat Mel Antarabangsa Pos Malaysia, KLIA pada 12 Okt lepas dan dipercayai untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.

"JKDM KLIA telah menemukan bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang disyaki mengandungi dadah jenis bunga ganja yang disorokkan di dalam kotak yang diikrar sebagai kasut dan barang permainan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi kes kedua pula, beliau berkata sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan merampas satu bungkusan kotak mengandungi sembilan bungkusan aluminium berisi dadah jenis ketamin seberat 9.114 kg bernilai RM455,700 di sebuah terminal kargo Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 9 Okt lepas.

"Dadah cuba dibawa masuk menggunakan perkhidmatan kargo dan disembunyikan di dalam bungkusan aluminium serta kotak yang diikrar sebagai sepana paip dan kotak peralatan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya sambil menambah bungkusan dari sebuah negara Eropah itu dipercayai hendak dihantar ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam kedua-dua kes yang disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 tersebut, penghantaran dilakukan menggunakan alamat penerima dan penghangtar yang tidak lengkap serta palsu.

Dalam perkembangan lain, Aspalila berkata pihaknya menyita dua buah kereta model Mini Cooper S dianggarkan bernilai RM180,000 dengan anggaran cukai serta duti sebanyak RM154,620 di dua lokasi berbeza sekitar Sepang pada 14 Sept lepas.

Beliau berkata kedua-dua kenderaan itu diseludup masuk ke dalam negara tanpa permit import yang sah dan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pemilik kenderaan sedang dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement