Badan Peguam Malaysia mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Zaharah Ibrahim yang telah mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya yang baharu, hari ini.

Presidennya George Varughese berkata Badan Peguam berharap untuk bekerjasama dengan Zaharah.

"Kami ucapkan selamat maju jaya kepada Yang Arif dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab baharu beliau yang sangat penting, dan kami berikrar untuk memberikan kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada Yang Arif," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi.

Zaharah, 65, adalah wanita kedua yang memegang jawatan itu selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob, yang berkhidmat sejak 2005 hingga 2007.

Beliau mengisi satu daripada empat jawatan tertinggi dalam badan Kehakiman, menggantikan Tan Sri Ahmad Maarop, yang dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Zaharah mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Hakim kanan Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam di Istana Kehakiman.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Ogos 2004, berkhidmat di Bahagian Sivil Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur dan kemudian di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Malaysia di Shah Alam.

Zaharah kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2006, menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Feb 2015.

-- BERNAMA