JAKARTA: Ribuan pelajar Indonesia dan kumpulan masyarakat sivil mengadakan demonstrasi di ibu negara Jakarta serta beberapa bandar lain pada Rabu bagi membantah dasar Presiden Prabowo Subianto, termasuk isu kebakaran hutan yang masih tidak berkesudahan.
Para penunjuk perasaan berhimpun di Bundaran HI yang menjadi mercu tanda di Jakarta, dengan sebahagian daripada mereka memakai topeng gas sambil membawa sepanduk membantah kebakaran hutan, selain mendesak pemerintah republik itu mengisytiharkan kebakaran berkenaan sebagai bencana nasional.
Kebakaran besar yang merebak cepat akibat fenomena cuaca El Nino telah menyebabkan hamparan tanah gambut menjadi mudah terbakar, sekali gus mencetuskan kebakaran hutan dan jerebu terburuk dalam tempoh 11 tahun.
Keadaan itu meningkatkan kes penyakit pernafasan serta membawa pencemaran hingga merentas sempadan ke negara jiran, Malaysia, Singapura dan Filipina.
Para peserta demonstrasi itu dilihat mula berkumpul ke titik-titik tertentu di sekitar ibu negara sejak pagi, dan masih belum reda hingga ke lewat petang.
Sebahagian daripada mereka membawa sepanduk tertera mesej “Jika kami terbakar, kamu turut terbakar bersama kami”, selain mengangkat isyarat tiga jari sebagai simbol bantahan.
Sepanduk yang memaparkan imej hidupan liar yang menjadi korban kebakaran juga ditunjukkan bagi mengukuhkan mesej bantahan. Turut kelihatan sepanduk berupa imej pimpinan tertinggi negara itu yang dijilat api bagi menyampaikan rasa kemarahan rakyat.
Selain isu kebakaran hutan, para penunjuk perasaan turut menuntut pemerintah menghentikan perbelanjaan bagi program populis, termasuk skim makanan percuma Makan Bergizi Gratis yang diperkenalkan Prabowo, selain beberapa tuntutan lain.
Antara tuntutan itu adalah mengenai isu pengurusan ekonomi dan anggaran negara yang didesak agar pelaksanaannya mengutamakan kepentingan rakyat; soal akses pendidikan dan layanan dasar yang merata dan terjangkau; reformasi hukum yang menggesa agar penyalahgunaan kuasa dihentikan; serta pembanterasan rasuah.
Di Jakarta, kumpulan pelajar, telah dihalang oleh puluhan anggota polis dan tentera, sekali gus mencetuskan beberapa insiden pergelutan. Di Yogyakarta pula, kekecohan yang melibatkan aksi pembakaran turut dilaporkan terjadi di Jalan Malioboro, iaitu di kawasan pusat kota yang terkenal dengan tarikan pelancongan. Meskipun begitu, belum dapat dipastikan identiti kelompok yang mencetuskan aksi pembakaran berkenaan.
“Revolusi! Revolusi!” laung para penunjuk perasaan.
Laporan Reuters yang memetik kata seorang pelajar dari Universiti Padjadjaran, Ezra Al Barra, menyifatkan api itu sebagai simbol “kemarahan kolektif”, sambil menambah bahawa pelajar dari wilayah lain di luar Jakarta turut menyertai demonstrasi berkenaan.
Demonstrasi seumpamanya turut berlangsung di Makassar, Sulawesi Selatan, dan Bandung, Jawa Barat, dengan tuntutan serupa.
Ratusan penunjuk perasaan berarak menggunakan motosikal sehingga memenuhi jalan-jalan utama di bandar berkenaan. Menjelang malam, pihak berkuasa masih berusaha mengawal kerumunan khalayak dan juga menyuraikan peserta protes.
Pejabat komunikasi pemerintah dalam satu kenyataan pada petang Rabu menyambut baik pandangan yang disuarakan pelajar.
Menurut kenyataan itu, pemerintah telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berkenaan, menyalurkan bantuan ke wilayah yang terjejas akibat jerebu dan akan terus memantau perkembangan kebakaran.