Skip to main content

Malaysia

Bahas RCI TH: Sebanyak 35 hingga 40 Ahli Parlimen bersedia, berminat ambil bahagian - Fahmi

Sumber: TH
Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk mengambil bahagian dalam sidang khas Dewan Rakyat, bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata sidang khas itu dijadualkan pada 11 Ogos.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, telah bersetuju bahawa sidang ini akan diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.

“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahas isu tersebut," katanya pada sidang media mingguan, di sini semalam.

Fahmi berkata sesi sidang khas itu boleh ditonton secara langsung menerusi saluran media rasmi yang menyiarkan sidang Dewan Rakyat.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan RCI mengenai TH akan diadakan pada 10 pagi, 11 Ogos ini dan sidang tersebut akan berlangsung sehingga petang.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai, antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI juga mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement