Walaupun ada peruntukan untuk membantu petani, namun ada segelintir daripada mereka tidak dapat menerima sebarang bantuan dan harus mengeluarkan modal sendiri untuk meneruskan usaha mereka. Ini kerana ada syarat yang dikenakan dikatakan ditetapkan terlalu ketat atau tempoh untuk memproses permohonan bantuan yang tidak menentu.

Mengambil contoh, Ghazali Supian seorang petani dari Kampung Permatang, Kuala Selangor yang kini sedang mengusahakan tanaman sayur. Meskipun mengakui mendapat bantuan baja dan racun dari kerajaan dengan anggaran RM600, namun beliau harus mengeluarkan wang tambahan sebanyak RM3,000 untuk kos menolak dan membaik pulih tapak tanaman.

"Kita orang kampung petani, mana ada modal, kita harapkan bantuan kerajaan sahaja. Ada juga memohon, tapi tidak pernah dapat," katanya.


Rakannya Mokhtar Abdul Majid, 44 tahun, pula pernah mengusahakan tanaman pisang namun mengalami kerugian teruk ekoran serangan penyakit ke atas tanamannya baru-baru ini.

Beliau berkata inilah antara risiko yang harus dilalui.

"Kalau ada penyakit, tiada peruntukan atau bantuan. Kita kena tanggung sendiri. Kita tidak boleh tanam balik," katanya.

Jelas beliau, tanaman pisang mampu membawa keuntungan sehingga RM2000 hingga RM3000 sebulan.

"Kalau ada penyakit, bukan nak katakan RM2000 hingga RM3000 tetapi 'terduduk'. Modal sendiri pun tak dapat balik," tambah Mokhtar.


Apabila ditanya tentang bantuan kerajaan, petani Samsudin Mohd Hanafiah memberitahu bahawa bantuan dari pihak kerajaan ada seperti bantuan kewangan sehingga RM3000.

Namun, para petani harus mengikut prosedur dimana para petani harus mengeluarkan wang modal sendiri dan juga menunggu kelulusan permohonan.

"Kelulusan itu belum tentu. Kadang-kadang ia cepat, kadang-kadang ia lambat. Tidak terjamin mendapat kelulusan dalam tempoh tiga bulan," kata Samsudin.


Selain itu antara masalah besar yang dialami oleh para petani di kampung adalah masalah berkaitan geran.

"Geran tanah di kampung ini masih lagi atas nama datuk dan tidak pernah ditukar. Oleh kerana itu, memang susah untuk mendapat bantuan," jelas Samsudin.

Mokhtar pula berharap kelonggaran dapat diberikan untuk memberi semangat kepada generasi baru yang kuat berusaha untuk berkebun.