Bajet 2015 yang memperuntukkan RM273.9 bilion, peningkatan RM9.8 bilion berbanding bajet 2014, adalah bagus, tetapi peruntukan itu harus digunakan dengan betul supaya ketirisan dapat dielakkan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar berkata perkara ini terutamanya perlu ditegaskan kepada sektor pembangunan.

“Dalam sektor pembangunan, pastikan jangan ada perundingan terus, rundingan harus dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

“Kontrak pembangunan harus diberikan kepada pihak yang paling layak untuk mengelakkan ketirisan,” katanya kepada Astro AWANI.

Akhbar turut menasihatkan jabatan dan sektor kerajaan yang menerima peruntukan tambahan di dalam Bajet 2015, untuk membelanjakannya sebaik mungkin dan mengelakkan pembaziran.

Antara intipati Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri datuk Seri Najib Razak semalam ialah peruntukan RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan RM29.3 bilion dan peruntukan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, kesihatan, perumahan dan kesejahteraan masyarakat (RM12.6 bilion).