Kerajan akan mengkaji cadangan supaya peniaga meletakkan label terhadap semua barangan yang diberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk mengelak pembeli daripada teraniaya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, cadangan itu dilihat salah satu inisiatif berguna sebelum GST dilaksanakan tahun depan.

"Saya akan terima selain mengalukan-alukan cadangan baik berkenaan GST.

"Kita juga sudah wajibkan sebelum ini untuk peniaga meletakkan tanda harga, dan label khas untuk barangan yang tidak dikenakan GST adalah cadangan baik.

"Pastinya kerajaan akan mengkaji cadangan ini. Sebagai contoh kita letakkan label bewarna oren kepada barangan di bawah Skim Kawalan Harga dan akan melihat kemungkinan untuk melaksanakan setiap cadangan yang diterima," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan diminta mengulas kenyataan bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Tan Sri Zainal Rampak yang mencadangkan kerajaan mengarah peniaga supaya melekatkan tanda tertentu bagi menunjukkan barangan yang tidak dikenakan GST.

Zainal turut melihat kemungkinan barangan terutamanya keperluan harian yang tidak dikenakan GST itu ditandakan atau dilekatkan pelekat warna berbeza.

Jelas Hasan lagi, kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pihak untuk memberi cadangan baik yang memberi keuntungan kepada rakyat dalam isu GST.

"MTUC ada cadangan mereka yang tersendiri, mungkin ada individu atau organisasi lain mahu memberi pendapat mereka sendiri.

"Kita janji akan mengkaji semuanya demi memastikan tidak ada pihak yang terperdaya dan semua berpuas hati sebelum pelaksanaan GST nanti," ujarnya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju meluaskan skop barangan yang tidak dikenakan GST.

Sistem percukaian baharu itu akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan dan antara yang dikecualikan GST adalah diesel, gas petroleum cecair, semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti putih dan roti tepung gandum penuh, serbuk kopi dan teh, mi kuning, laksa dan bihun.

Selain itu, kerajaan juga memberi pengecualian GST kepada ubat-ubatan penting meliputi hampir 2,900 jenama bagi kegunaan 30 jenis penyakit, bahan bacaan dan surat khabar.