Kerajaan perlu mewujudkan inisiatif-inisiatif berterusan yang dapat meringankan beban rakyat, menjelang pengumuman Bajet 2015 akan datang.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman ketika ditemu bual Astro Awani.

Kata beliau, dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pastinya masyarakat bimbang akan kesan-kesan yang mungkin perlu ditanggung mereka.

“Bila kerajaan melaksanakan GST tahun hadapan, memang sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada harga barangan, walaupun ada sesetengah barang yang dikecualikan. Namun pengguna amat bimbang dengan sebahagian barang yang akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus. Kerana ia sudah tentu meningkatkan kos sara hidup mereka.”

“Jadi dalam hal ini, FOMCA berharap bahawa kerajaan perlu meneruskan atau menambahkan inisiatif-inisiatif yang sedia ada yang dapat meringankan bebanan atau kos sara hidup seperti mewujudkan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, begitu juga dengan bantuan-bantuan lain seperti BR1M.”

Menyentuh mengenai BR1M, Mohd Yusof berkata, bantuan sebegitu mungkin kurang berkesan jika diberikan secara sekali atau pun “one-off”. Ini kerana, wang tersebut mungkin akan digunakan sekaligus oleh rakyat, dan pengurusan wang tersebut mungkin kurang baik.

Mohd Yusof sebagai mewakili FOMCA dan juga pengguna menyarankan agar bantuan tersebut diagihkan secara berterusan, iaitu setiap bulan misalnya agar mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan seisi rumah bulanan.

“Kita berharap agar inisiatif-inisiatif ini dapat diwujudkan melalui Bajet 2015 dengan tujuan untuk meringankan beban hidup rakyat dengan kos yang dijangkakan akan naik pada tahun depan,” katanya.

Antara lain, Mohd Yusof turut ingin melihat beberapa perkara lain dibincangkan pada pembentangan Bajet 2015.

“Kita harap dalam Bajet 2015, kerajaan dapat menjelaskan atau menyenaraikan apakah barang-barang yang dikecualikan atau pun berkadar ‘kosong’ bila GST dilaksanakan. Jadi pengguna tahu barang-barang tersebut yang disenaraikan.

“Seterusnya, apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan bahawa tiada pihak yang akan memanipulasi harga sekiranya GST dilaksanakan. Ini sebenarnya yang menjadi keperihatinan persatuan pengguna. Ini kerana, apabila GST dilaksanakan, sudah tentu ada pihak-pihak tertentu yang mungkin cuba untuk memanipulasi harga dengan alasan GST dilaksanakan,” tambah Mohd Yusof.

Mohd Yusof turut berharap agar pengumuman Bajet 2015 tidak melupakan rakyat yang dikategorikan sebagai ‘kelas pertengahan’ atau “middle-class” yang mempunyai pendapatan bulanan RM5000 ke bawah.

Ini terutama sekali mereka yang menetap di kawasan bandar dan mempunyai beban tanggungan kos sara hidup lebih tinggi.