Peruntukan sembilan bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2018 bakal membantu memantapkan entiti itu dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, peruntukan itu juga merupakan hadiah cukup bermakna buat warga PDRM.

Malah menurutnya, peruntukan itu sangat diperlukan bagi menambah baik kelengkapan keselamatan dalam berdepan ancaman jenayah pada era teknologi masa kini.

"Saya sangat berpuas hati dengan peruntukan yang dibentangkan terutama RM720 juta untuk pembinaan 11 ibu pejabat polis dan enam balai polis," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini malam ini.

Antara peruntukan lain buat PDRM adalah RM170 juta untuk menaik taraf teknologi maklumat komunikasi, RM100 juta untuk menaik taraf sistem komunikasi serta pembelian senjata api dan kenderaan operasi.

Sementara itu Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali menyambut baik peruntukan sebanyak 250 juta yang dibentangkan dalam Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.