KUALA LUMPUR : Kerajaan Persekutuan harus mengotakan janji berkenaan kuota mandatori jantina, khasnya buat wanita bagi mengisi jawatan-jawatan dalam lembaga korporat seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dibawah Bajet 2022.

Menurut Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew, sebarang faedah sosio-ekonomi yang diperuntukkan menerusi bajet itu juga harus disalurkan kepada Sabah.

"Kita berada di belakang berbanding negara-negara lain, terutamanya di Eropah, yang mana telah lama mempunyai kepelbagaian jantina khasnya (dalam mengisi jawatan) di lembaga-lembaga korporat.

"Setelah lebih berdekad lamanya, perkara berkenaan meningkatkan representasi wanita di bilik lembaga dibincangkan, namun masih tidak berjaya.

"Saya lega, kali ini, kuota jantina digubal bagi memenuhi keperluan tersebut. Saya tahu ramai wanita Sabah layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah, tetapi tidak diberi peluang, meskipun sudah melengkapi latihan dibawah Program Pengarah Wanita," kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Liew walau bagaimanapun berkata, penalti yang akan bakal dikenakan terhadap syarikat-syarikat besar yang gagal melaksanakan kuota untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga mereka menjelang September 2022 dan syarikat-syarikat lain pada Januari 2023, masih tidak jelas.

"Sebagai contoh, di Itali, syarikat yang gagal mengikuti kuota mengenai hal ini boleh disaman oleh pihak pihak berkuasa, berdasarkan laporan media," tegasnya.

Dalam pada itu, Liew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api Api turut mengesa golongan wanita ibu-ibu tunggal dan suri rumah yang tidak mempunyai kerja untuk memanfaatkan inisiatif kerajaan 'Jamin Kerja Keluarga Malaysia' seperti yang diumumkan oleh Tengku Zafrul dalam Bajet 2022.

BACA: Bajet 2022: Jamin Kerja sedia 600,000 peluang pekerjaan, libat RM4.8 bilion

Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa setiap syarikat-syarikat besar dalam negara harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam badan-badan lembaga korporat mereka mengikut tempoh yang sama itu.