KUALA LUMPUR : Kerajaan persekutuan memberi jaminan akan terus menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di semua negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

Kementerian Kewangan menjelaskan perkara itu dalam satu kenyataan, menghuraikan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (Development Expenditure atau DE) bagi Sabah dan Sarawak seperti yang ditetapkan dalam Peruntukan Belanjawan 2020.

Di bawah Bajet 2022, sebanyak RM5.16 bilion diperuntukkan untuk Sabah dan RM4.67 bilion untuk Sarawak.

Ia merupakan peningkatan sebanyak RM104 juta berbanding tahun 2021 bagi Sabah dan peningkatan RM158 juta berbanding 2021 bagi Sarawak.

"Jumlah peruntukan DE Sabah dan Sarawak bagi 2022 adalah lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan DE untuk kesemua negeri.

"Perbelanjaan DE ini termasuk peruntukan RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link.

"Selain peruntukan DE ini, kerajaan juga menyediakan peruntukan dari segi pemberian/pembayaran kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak," jelas kenyataan tersebut.

Untuk itu, Sabah dan Sarawak kekal sebagai dua negeri penerima pemberian/pembayaran kerajaan persekutuan terbesar dengan jumlah kedua-duanya lebih 30 peratus daripada jumlah pemberian kepada kesemua kerajaan negeri.

Dalam pada itu, bagi 2021, bantuan tunai bernilai RM1.31 bilion telah memanfaatkan 864,000 warga negeri Sabah sementara RM1.49 bilion memanfaatkan 987,000 warga negeri Sarawak.

Berikut adalah antara peruntukan-peruntukan lain khusus kepada Sabah dan Sarawak melalui Bajet 2022:

- Menaik taraf sekolah daif melibatkan peruntukan sebanyak RM746 juta dan daripada jumlah 330 projek sebanyak 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

- Perluasan perlindungan PERKESO kepada sembilah kategori baharu iaitu artis, penjaja, perikanan, pertanian, sektor pelancongan, OKU, Orang asli, Orang asal Sabah Sarawak dan penyelia dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti.

- Program Bumiputera Sabah dan Sarawak: Program pendidikan kepada anakanak Bumiputera Sabah dan Sarawak berkenaan budaya dan warisan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

- Penubuhan Bank Susu Ibu untuk bayi pra-matang di Neonatal Care Unit di Hospital Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

- Pembiayaan kos pengangkutan dan pengedaran barang asas (LPG dan Petrol) ke kawasan luar bandar, khususnya Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta.

- Subsidi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM209 juta.

- Peruntukan DE sebanyak RM1.5 billion daripada jumlah keseluruhan RM2.5 billion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.

- Menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

- Menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak.

- Tambahan 20 lagi perkhidmatan bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.