KUALA LUMPUR: Bajet 2023, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini, sepatutnya mampu mengubah persepsi bahawa pengangkutan awam adalah "pilihan terakhir" kepada "mod pengangkutan pilihan" untuk memastikan perbelanjaan berbilion ringgit sektor itu digunakan dengan berkesan.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata, walaupun banyak yang telah dibelanjakan untuk membina infrastruktur baharu, namun kerajaan perlu memastikan laluan pejalan kaki dan laluan menuju ke stesen pengangkutan awam diterangi cahaya, dilindungi dan dipantau sepanjang masa.

"Kemudahan untuk Orang Kurang Upaya perlu dinaik taraf dan disediakan di semua stesen. 4PAM berharap lebih banyak inisiatif akan diumumkan dalam Bajet 2023 untuk menggalakkan lebih ramai orang menaiki pengangkutan awam. Bagaimanapun, kami berharap usaha semasa tidak terjejas," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Ajit berkata, 4PAM juga berharap kerajaan akan terus menggalakkan industri perkongsian tunggangan tempatan dengan menyediakan lebih banyak insentif dalam bajet akan datang memandangkan sektor berkenaan semakin matang dengan berubah cepat selain industri itu dapat menyesuaikan dengan teknologi baharu, sekali gus menjadi penyelesaian yang praktikal.

Beliau berkata, pemandu perkongsian tunggangan juga perlu diberikan beberapa bentuk subsidi bahan api untuk bersaing antara satu sama lain secara adil selain menyediakan alternatif kepada pengguna pengangkutan awam.

"Tunggangan selalunya dijejaki secara automatik, oleh itu mekanisme subsidi bahan api boleh diwujudkan berdasarkan jarak. Sebagai balasan, pemandu mampu membayar premium insurans yang lebih tinggi untuk meningkatkan perlindungan mereka," katanya.

Ajit juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan duti import ke atas kenderaan yang digunakan untuk perkongsian perjalanan, kerana ia akan membolehkan pemandu membeli kenderaan yang lebih baik dan lebih dipercayai untuk memenuhi keperluan pengguna pengangkutan awam.

"4PAM percaya dengan kenderaan yang ditambah baik dan pilihan yang lebih besar, rakyat daripada kumpulan T20 dan M40 akan mempertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Di samping itu, 4PAM menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Semakan Pengangkutan Awam, yang dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan, untuk mengkaji semula peraturan kenaikan tarif dan memastikan pengangkutan awam tidak dimonopoli dan boleh menjadi mampan untuk pengendali.

"4PAM juga ingin mencadangkan diwujudkan Tribunal Pengangkutan Awam bagi memastikan pengguna mempunyai jalan keluar yang telus, berkesan, cekap dan mesra pengguna," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Teksi Malaysia, Kamaruddin Hussain merayu agar dalam Bajet 2023, kerajaan memperuntukkan bantuan khas RM500 kepada ahlinya di seluruh negara.

"Ahli kami yang terdiri daripada pemandu kereta sewa, teksi dan e-hailing adalah rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama hampir dua tahun benar-benar memberi kesan kepada kami," katanya sambil menambah kenaikan harga barang juga menyukarkan pemandu teksi meneruskan kelangsungan hidup mereka. - BERNAMA