PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengusulkan permohonan enam inisiatif baharu berjumlah RM3.4 bilion kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada 7 Okt ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata permohonan itu dibentang melalui sesi libat urus bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Ogos lepas.

"Enam inisiatif baharu yang dicadangkan itu ialah Pengukuhan Program Healthcare and Wellness (penjagaan kesihatan dan kesejahteraan) dengan anggaran bajet RM738 juta; penambahbaikan dan baik pulih fasiliti kesihatan kementerian (RM791.5 juta); dan meningkatkan keberkesanan rawatan kesihatan (RM850 juta).

"Ia juga termasuk penggantian aset perubatan yang kritikal dan usang (RM400 juta); pendigitalan perkhidmatan kesihatan (RM460 juta) dan insentif penghargaan anggota kesihatan sebanyak RM183 juta," katanya kepada pemberita semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan, di sini baru-baru ini.

Khairy berkata permohonan untuk penambahbaikan dan baik pulih fasiliti kesihatan KKM dibuat berikutan terdapat 2,732 klinik kerajaan dalam keadaan terabai tetapi masih beroperasi untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

"Bagi KKM, kesihatan yang baik boleh dicapai melalui fasiliti kesihatan yang mencukupi dan berfungsi. Agak menyedihkan apabila saya melihat keadaan kebanyakan klinik awam kita terutama di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

"Oleh itu, saya telah memohon bajet khas daripada Kementerian Kewangan untuk diluluskan dalam Bajet 2023. Ia termasuk menambah baik infrastruktur bangunan dan mengganti serta menambah peralatan perubatan," katanya.

Khairy berkata KKM amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Zafrul serta rakyat Malaysia secara keseluruhan yang menyokong cadangan agar peruntukan kementerian itu ditingkatkan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding ketika ini antara 2.10 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata permohonan KKM itu adalah rasional untuk memberikan perkhidmatan memelihara rakyat Malaysia agar sentiasa sihat dan merawat mereka yang sakit pada tahap terbaik.

"Namun kementerian juga sedar untuk menunaikan permohonan ini bukan bermakna kita hendak terus dilaksanakan tahun hadapan. Mungkin mengambil masa dalam tempoh lima tahun dan kita pun faham akankedudukan kewangan negara.

"Tapi saya merasakan perkara ini boleh dilaksanakan misalnya melalui peningkatan kutipan hasil atau melalui rasionalkan semula peruntukan terutamanya untuk dirasionalkan subsidi petroleum kepada golongan sasar," katanya.

-- BERNAMA