KUALA LUMPUR: Kebajikan penjawat awam terus menerima bantuan ‘durian runtuh’ dengan jumlah bantuan keseluruhan mencapai RM2,500 pada tahun 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, peruntukan itu turut melibatkan Bonus Aidilfitri yang ditetapkan pada kadar RM600. 

“Kerajaan bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

“Selain itu, Kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion,” jelas Tengku Zafrul.

Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan kos pembiayaan bagi penjawat awam yang membeli komputer dan telefon pintar kepada dua peratus setahun, turun berbanding empat peratus ketika ini.

Guru yang telah berkhidmat lebih 10 tahun layak mendapat cuti khas selama 15 hari, berbanding lima hari ketika ini. Ini dijangka memberi manfaat kepada 500,000 guru.

Sebagai membalas khidmat bakti kakitangan kerajaan, Perdana Menteri juga memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac 2023.

Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500.

SEGALANYA TENTANG BAJET 2023 DI SINI