Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengakui bajet yang diperuntukkan untuk membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) agak terhad.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, permohonan sebanyak 35,000 yang diterima KPLB pada 2018 melebihi daripada bajet yang diperuntukkan.

“Permohonan kita terima hampir 35,000 pada 2018, tetapi kita hanya mampu sediakan 10,000 unit termasuk baik pulih dan bina baharu, jadi permohonan itu ada banyak lagi dan makin lama makin meningkat.

“Kementerian kena kreatif dan inovatif sebab itu pada bulan Februari lepas kita dah lancarkan rumah yang gunakan teknologi Sistem Binaan Industri (IBS) walaupun bukan teknologi baharu tetapi ia tidak digunapakai sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu kepada program Agenda Awani terbitan Astro AWANI, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, penggunaan teknologi IBS dapat menjimatkan kos pembinaan rumah PPRT sebanyak 15 peratus dengan dapat mengekalkan saiz serta kualiti rumah.

Beliau berkata, berdasarkan bajet yang diberikan, PKLB hanya mampu membina rumah 1,500 unit PPRT pada tahun ini namun dengan penggunaan teknologi IBS sebanyak 300 buah rumah lagi mampu dibina.

“Dengan idea macam ini (IBS) maka boleh buat penambahan rumah (bina baru), walaupun tidak banyak tetapi ada penambahbaikan, dari segi penjimatan kita bukan menghabiskan duit tetapi kita bagi jimat lagi untuk boleh bina lebih banyak rumah,” jelas beliau lagi.