Kerajaan membelanjakan hampir separuh daripada peruntukan berjumlah RM1.2 bilion bagi memastikan liputan bekalan air bersih mencapai tahap 100 peratus terutama di kawasan bandar, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Peruntukan itu juga bertujuan menambah rizab bekalan air terawat di seluruh negara kepada 20 peratus.

Menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, sejumlah RM514.5 juta dibelanjakan untuk pelaksanaan pelbagai projek bekalan air di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan luar bandar dengan memperuntukkan RM4.1 bilion bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM979.6 juta diperuntukkan untuk membina, menambah baik dan menaik taraf jaringan jalan luar bandar di seluruh negara dengan RM585.9 juta dibelanjakan untuk menyelenggara 196.6km jalan bagi tempoh sehingga Julai 2014.

Menurut laporan itu, sejumlah RM457 juta diperuntukkan bagi pembekalan air bersih dan terawat kepada 8,000 rumah di kawasan luar bandar di seluruh negara, dan sehingga Julai 2014, sebanyak RM171.7 juta telah dibelanjakan.

Di Sarawak pula, sebanyak 30,000 tangki air diagihkan di kawasan luar bandar yang telah dikenal pasti, melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta.

Kerajaan turut memperuntukkan RM862.7 juta bagi pembekalan elektrik tanpa gangguan kepada pengguna di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak, petempatan Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta estet dan perkampungan di pulau.

"Sehingga Julai 2014, sebanyak 48 projek bekalan elektrik sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat melibatkan perbelanjaan RM405.5 juta dengan enam projek telah disiapkan dan memanfaatkan 4,180 rumah," kata laporan itu.

Kerajaan juga memperuntukkan RM40 juta bagi kerja pengukuran tanah dan pengesahan hak milik tanah bagi mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh Bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak dalam proses pemilikan tanah adat.

Sementara itu, sejumlah RM5.4 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf Hospital Kuala Lipis di Pahang dan Hospital Kuala Lumpur serta pembinaan blok tambahan Hospital Jeli di Kelantan dan Hospital Queen Elizabeth, di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut laporan itu, sebanyak RM15.6 juta pula diperuntukkan bagi menambah 50 Klinik 1Malaysia pada 2014 yang masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka memanfaatkan 1.5 juta rakyat.