NATIONAL
Bakal jemaah haji dari Hulu Langat catat bilangan tertinggi sertai KPH

Mohd Na'im berharap bakal haji pada tahun ini akan menggunakan peluang istimewa ini dengan sebaiknya. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah peserta paling ramai mengikuti fasa akhir Kursus Perdana Haji (KPH) musim 1446H/2025M negeri Selangor dengan penyertaan seramai 2,771 peserta.
Ia diikuti daerah Petaling (2,593), Kuala Langat (330), Kuala Selangor (371), Hulu Selangor (309), Klang (640), Sabak Bernam (227), Gombak (645) dan Sepang (452).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berharap bakal haji pada tahun ini akan menggunakan peluang istimewa ini dengan sebaiknya.
“Sesungguhnya jemputan ini merupakan satu peluang yang sangat dicemburui, jadi saya berharap bakal haji sekalian akan menggunakan peluang istimewa dengan sebaiknya.“Banyakkan persiapan diri sebelum berangkat ke Tanah Suci, bukan sahaja daripada segi persiapan barangan, tetapi lebihkan persiapan mental dan rohani, tingkatkan kefahaman ilmu agama dan ibadat haji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyempurnaan penutupan kursus perdana haji peringkat negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kesemua bakal jemaah Haji supaya menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan.
“Bakal jemaah Haji diingatkan supaya menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan dengan melakukan senaman, membiasakan diri untuk banyak minum air kosong dan bersedia dengan ubat-ubatan yang disarankan oleh pihak doktor kerana Hari Wukuf pada tahun ini masih lagi dalam musim panas,” katanya.
Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mencemar duli menyempurnakan kursus perdana Haji peringkat negeri Selangor pada Ahad
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, selain barisan kepimpinan kerajaan negeri dan agensi.
Mengulas lanjut, Na’im berkata Kursus Perdana ini dirangka bagi memberikan gambaran suasana sebenar di Tanah Suci sekali gus melatih bakal-bakal haji agar bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta orang jemaah dari serata dunia.
Bagi musim haji 1446H/2025M, negeri Selangor mencatatkan jumlah jemaah haji paling tinggi iaitu seramai 8,338 orang yang terdiri daripada 3,609 jemaah lelaki dan 4,729 jemaah wanita.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami