Skip to main content

Malaysia

Bakar jari anak tiri sebab nakal, pemotong kayu direman

61770189851_HandcuffGari.jpg
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan semalam susulan laporan oleh ibu kandung mangsa yang berusia 30 tahun di Balai Polis Bukit Besi. - Gambar hiasan

DUNGUN: Seorang pemotong kayu yang bekerja di sebuah kilang di sini direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki mendera anak lelaki tirinya berusia lima tahun di Kampung Besol Baru, Bukit Besi pada April lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan semalam susulan laporan oleh ibu kandung mangsa yang berusia 30 tahun di Balai Polis Bukit Besi pada 5.36 petang hari sama, dan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk direman hingga 17 Mei ini.

"Hasil siasatan mendapati ibu mangsa menyedari jari manis tangan kiri anaknya terdapat kesan melecur dan mangsa memberitahunya, suspek membakar jarinya menggunakan pemetik api disebabkan nakal, perkara itu turut diakui oleh suspek.

"Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati kesan luka yang telah sembuh di bahagian jari manis sebelah kiri dan tiada kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaidy berkata, pada 3 Mei, mangsa pernah memberitahu seorang ahli keluarga bahawa suspek didakwa mencekik leher dan memijak perutnya, namun tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.

Beliau berkata, mangsa yang bersekolah di sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di Bukit Besi dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan pada 8 malam tadi.

"Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau didapati negatif dadah ditahan pada jam 5.50 petang hari yang sama,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.

 

-- Bernama

 

Must Watch Video