Balu kepada pengasas kumpulan Al-Arqam, Hatijah Aam sedia berdebat dengan penulis dan sarjana kontroversi Dr Kassim Ahmad berhubung dengan kontroversi anti-hadis yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari lalu.

Menurut Hatijah, golongan anti-hadis ini sebenarnya adalah anti-Tuhan.

"Jikalau saya diberi peluang dan kebenaran untuk berdebat dengan Dr Kassim Ahmad mengenai isu ini, saya hendak sahaja. Walaupun saya tiada hujah, saya hendak katakan disini bahawa saya ada Nabi dan biarlah orang lain melihat bahawa masih lagi ada orang yang tetap mempertahankan Nabi Muhammad SAW," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Petaling Jaya.

Beliau terpanggil untuk membuat kenyataan mempertahankan kesucian dan kemurnian agama Islam setelah muncul kenyataan-kenyataan berkaitan isu agama daripada para pembentang kertas kerja seminar tersebut yang antaranya.

Hatijah yang juga Pengerusi Eksekutif Syarikat GISB Holdings Sdn Bhd menambah, Allah S.W.T telah melantik pesuruh-Nya iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan ianya bukan hanya terdapat dalam hadis namun sudah tertulis dalam Al-Quran seperti yang disebutkan di awal Surah Al-Fath, ayat 29 "Muhammad itu adalah utusan Allah (pesuruh Allah)..."

"Golongan anti-hadis ini sebenarnya adalah anti-Tuhan! Allah yang melantik Rasul untuk menerima wahyu yang dibawa oleh Malaikat Jibril. Malah Allah juga menegaskan dalam Al-Quran bahawa Baginda terpelihara daripada sebarang kesilapan. Firman Allah "Dan tidaklah dia (Muhammad) itu berbicara dari hawa nafsunya, tidaklah yang diucapkan itu melainkan wahyu yang diwahyukan kepada (Surah An-Najm, ayat 2-3),".

Hatijah menerangkan lagi Rasul itu bukan sahaja sumbernya hadis tetapi Al-Quran yang diturunkan kepadanya.

"Siapa menolak hadis hakikatnya menolak Al-Quran, siapa menolak Nabi Muhammad ertinya menolak sesuatu yang datang dari Tuhan! dan Allah telah menegaskan hal ini dalam Al-Quran "Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul untuk kamu, maka ambillah dan apa sahaja yang dilarang, maka tinggalkanlah" (Surah Al-Hasyar, ayat 7).

Tambahnya lagi, terputusnya hubungan umat Islam dengan Nabi mereka maka ianya juga bermakna memutuskan hubungan hamba dengan Tuhannya.

“Apabila Dr Kassim ikut memperjuangkan ajaran anti-hadis ini, tanpa sedar dia telah memperjuangkan ajaran Yahudi dan telah melakukan dosa besar vkerana membawa orang lain dan mempengaruhi orang lain untuk menolak hadis,”.

Hatijah berkata Dr Kassim menyangka boleh terus berhubungan dengan Tuhan tanpa Nabi. “Sedangkan untuk syarat sah seseorang Islam itu perlu menerima Allah dan mengakui adanya Nabi dan inilah yang kita lakukan ketika mengucap dua kalimah syahadah. Nabi tidak boleh diketepikan jika kita mahu mendapatkan Allah

Ajaran anti-hadis ini menolak keaslian hadis kerana dikatakan tiada jaminan hadis-hadis itu daripada dipalsukan.

“Itulah sebenarnya dakwaan mereka, walhal Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W menjamin bahawa syaitan tidak boleh menyerupai Nabi dan meubah segala perbuatan Rasulullah S.A.W ketika hayatnya. Ertinya disini, tiada siapa yang boleh menidakkan Nabi. Islam amat memerlukan Nabi dan tanpa Nabi bermakna Islam itu tiada “Sesungguhnya pada diri Rasulullah S.A.W itu suri tauladan (contoh ikutan) bagi kamu semua..” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)”.

Beliau mempersoalkan Dr Kassim bahawa adakah kekuatan yang setaraf Nabi sehinggakan Dr Kassim sanggup mencabar hadis-hadis Nabi dan penghulu bagi nabi-nabi .

“Berani sungguh Dr Kassim mempersoalkan Allah S.W.T dalam melantik Nabi Muhammad S.A.W sebagai pesuruh-Nya dan kita menyeru pihak berwajib agar mengambil tindakana terhadap Dr Kassim sekiranya dia (Kassim) masih enggan untuk bertaubat,” katanya lagi.