KUALA LUMPUR : Lebih 300 petugas Banci Malaysia 2020 dijangkiti COVID-19 dengan beberapa dalam kalangan mereka meninggal dunia sepanjang tempoh operasi pembancian dilakukan bermula 7 Julai 2020.

Menurut Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020,  Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata seramai 43,200 pegawai banci telah dikerahkan bagi melaksanakan tugasan pembancian sepanjang tempoh tersebut yang berakhir semalam.

“Suka saya mencerakinkan dalam sidang maya ini bahawa dalam rekod kami 330 orang barisan petugas hadapan banci telahpun dijangkiti COVID-19 dan terdapat beberapa orang telah meninggal dunia.

“Di sebalik kejayaan kita menghasilkan data banci sehingga semalam yang telahpun ditutup secara rasminya, sebenarnya kita juga menghadapi kekangan  sehingga menyebabkan sebanyak 330 orang (petugas) dijangkiti.

“Ya, kita mengikut SOP yang ditetapkan tetapi kita sedia maklumlah jangkitan itu boleh berlaku daripada pelbagai sumber,” jelasnya kepada media secara atas talian pada Isnin.

Malaysia katanya adalah merupakan antara 12 negara daripada 75 buah negara di dunia yang akhirnya berjaya meneruskan proses pembancian 2020 kali ini walaupun terpaksa menangguhkan proses tersebut sebanyak empat kali.

Katanya lagi, Banci 2020 telah mengambil masa selama 482 hari sejak ia dilakukan membabitkan 32.3 juta penduduk di negara ini dengan menelan belanja sebanyak RM400 juta.

Ia katanya adalah penting bagi mendapatkan data-data terkini dalam kalangan penduduk Malaysia bagi tujuan pembangunan jangka masa panjang selain menyediakan profil penduduk negara yang julung kalinya dilakukan berbanding banci sebelum ini.