KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menyenaraikan sejumlah 1.2 juta pertubuhan di negara ini dalam Banci Ekonomi 2023 yang dijalankan dari April hingga September 2023.

Berdasarkan penemuan operasi banci bagi tahun rujukan 2022, 1.09 juta atau 86.6 peratus, daripada jumlah pertubuhan yang direkodkan adalah masih beroperasi atau aktif, manakala 4.9 peratus pertubuhan telah berhenti dan 8.5 peratus tidak beroperasi.

"Daripada 1.09 juta pertubuhan aktif pada 2022, 949,360 berada dalam sektor perkhidmatan atau 87.1 peratus bahagian.

"Ini diikuti sektor pembinaan dengan 71,165 pertubuhan (6.5 peratus), sektor pembuatan dengan 54,484 pertubuhan (5.0 peratus), sektor pertanian dengan 13,271 pertubuhan (1.2 peratus), sektor perlombongan dan kuari dengan 1,350 pertubuhan (0.1 peratus)," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan.

Dalam sektor perkhidmatan, subsektor perdagangan borong serta runcit merekodkan peratusan tertinggi iaitu 47.0 peratus, diikuti subsektor makanan dan minuman (14.4 peratus), subsektor perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (6.8 peratus)."

Sektor pembinaan menunjukkan bahawa aktiviti pertukangan khas merupakan penyumbang utama dengan 36.5 peratus, diikuti kejuruteraan awam (22.7 peratus) dan bangunan bukan kediaman (22.4 peratus).

Sementara itu, bagi sektor pembuatan, subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka menyumbang peratusan tertinggi dengan 19.0 peratus, diikuti produk kayu, perabot, keluaran kertas serta percetakan (17.9 peratus) dan produk makanan (17.0 peratus).

"Dalam sektor pertanian, subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 69.8 peratus, diikuti ternakan, yang menyumbang 15.1 peratus dan perikanan (10.0 peratus)," katanya lagi.

Manakala untuk sektor perlombongan dan pengkuarian, subsektor perlombongan mineral serta pengkuarian adalah penyumbang terbanyak dengan 81.2 peratus, diikuti petroleum dan gas asli (18.8 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir menjelaskan bahawa negeri yang mempunyai peratusan pertubuhan aktif tertinggi ialah Selangor yang mencatatkan 25.3 peratus, diikuti Kuala Lumpur (13.8 peratus) dan Johor (11.4 peratus).

Dari segi pertubuhan perniagaan yang ditutup, sektor perkhidmatan mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 88.3 peratus daripada 61,165 pertubuhan. Ini diikuti dengan sektor pembinaan (5.3 peratus), pembuatan (5.0 peratus), sektor pertanian (0.8 peratus) serta sektor perlombongan dan pengkuarian (0.5 peratus).

"Pengenaan sekatan sosial serta ekonomi di seluruh negara pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi selain mendorong penutupan aktiviti perniagaan khususnya pertubuhan bersaiz mikro dan kecil.

Penemuan yang lebih terperinci laporan Banci Ekonomi 2023 dijangka dikeluarkan menjelang penghujung Mac 2024.

Susulan penerbitan ini, beberapa lapoan yang diperoleh daripada banci tersebut akan dikeluarkan pada tahap yang berbeza, yang akan memberikan analisis yang berharga.

-- BERNAMA