Banci Ekonomi 2026 sasar 1.2 juta pertubuhan di Malaysia - DOSM

Mohd Uzir menyeru agar semua pihak bersama-sama menjadikan pelaksanaan banci itu sebagai satu tanggungjawab nasional dalam usaha mengukuhkan daya saing negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.2 juta pertubuhan di seluruh Malaysia bakal terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 (BE2026), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ringkasan AI
- DOSM meramalkan kira-kira 1.2 juta pertubuhan di Malaysia akan terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 (BE2026), dengan 180,000 pertubuhan berdaftar di Wilayah Persekutuan, menunjukkan peningkatan 19.5% berbanding BE sebelumnya.
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dianggarkan memberi sumbangan kedua tertinggi kepada KDNK Malaysia pada 2024, meningkat 6.2% kepada RM265.8 bilion, dengan sektor perkhidmatan memimpin pertumbuhan ekonomi negara.
- BE2026 akan menggunakan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025, mencerminkan struktur ekonomi semasa dan menyokong dasar-dasar nasional seperti RMK13, Agenda Ekonomi Digital, dan SDG 2030 untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Menurut DOSM, kedudukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selepas Selangor pada 2024 dengan sumbangan 16.1 peratus kepada nilai KDNK berjumlah RM265.8 bilion, iaitu meningkat sebanyak 6.2 peratus.
"Sektor perkhidmatan yang mengungguli ekonomi berkembang 5.5 peratus mengatasi pertumbuhan nasional (5.3 peratus).
"Sementara itu, sektor pembinaan dan sektor pembuatan masing-masing meningkat 21.1 peratus dan 4.3 peratus," katanya.
DOSM hari ini telah menganjurkan sesi libat urus BE2026 bersama pihak berkepentingan dan persatuan perniagaan bagi peringkat Wilayah Persekutuan.
Ia dihadiri lebih 200 orang peserta dari pelbagai agensi dan persatuan industri bagi pemakluman awal pelaksanaan BE2026.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mohd Uzir menyeru agar semua pihak bersama-sama menjadikan pelaksanaan banci itu sebagai satu tanggungjawab nasional dalam usaha mengukuhkan daya saing negara, memacu inovasi dan menjamin kemakmuran ekonomi Malaysia yang mampan, inklusif serta berdaya tahan.
BE2026 merupakan banci keenam dilaksanakan di Malaysia sejak 2001.
BE2026 dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) dan Seksyen 5 di bawah akta ini mengkehendaki mana-mana pertubuhan yang beroperasi di Malaysia untuk memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada DOSM.
Liputan BE2026 akan menggunakan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025 yang merangkumi lima sektor, 17 seksyen dan 1,216 industri yang telah dikemas kini bagi mencerminkan perubahan struktur ekonomi semasa termasuk kemunculan industri berasaskan inovasi, tenaga lestari, teknologi maklumat dan ekonomi digital.
Selaras dengan aspirasi pembangunan negara, BE2026 menyokong pelaksanaan dasar-dasar nasional utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Agenda Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0, SDG 2030, dan Pelan Strategik Ekonomi Bumiputera 2035.
"Data yang diperoleh akan digunakan untuk menilai produktiviti, pelaburan, peluang pekerjaan, penggunaan teknologi dan daya saing ekonomi negara.
"Hasil pelaksanaan BE2026 akan diterbitkan melalui 51 penerbitan rasmi bagi memudahkan akses pengguna terhadap maklumat ekonomi mengikut sektor dan negeri," kata DOSM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


