KUALA KANGSAR: Bandar Diraja Kuala Kangsar bakal diangkat sebagai warisan kebangsaan pada masa akan datang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, selepas mendapat penarafan itu, bandar Kuala Kangsar juga akan dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kita (kerajaan negeri) ada buat perbincangan dengan Jabatan Warisan Negara untuk diangkat (bandar Kuala Kangsar) sebagai warisan kebangsaan terlebih dahulu.

"Selepas itu kita akan lihat kepada penarafan UNESCO, setelah warisan kebangsaan diselesaikan. Kita harap ianya dapat direalisasikan dalam masa yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021, di Dewan Jubli Perak di sini, pada Khamis.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqurnain Mohamad dan Pengarah PlanMalaysia @ Perak, Asni Mustafa.

Nolee Ashlin berkata, usaha itu bagi memartabat dan mengiktiraf warisan Istana Bukit Chandan sebagai Tapak Warisan Bernilai Tinggi.

Menurut beliau, hasrat itu merupakan salah satu daripada projek pemacu yang akan dibentangkan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Kangsar 2035 (penggantian).

Projek pemacu kedua ialah Pusat Pelancongan Sauk-Chenderoh dan Pusat Kreatif Sayong, ketiga ialah Pembinaan Susur Keluar Masuk Baharu ke Lebuhraya Utara Selatan dan Peningkatan Hubungan Antara Bandar

Dalam perkembangan berasingan, Nolee Ashilin berkata, kedatangan pelancong ke negeri ini menunjukkan prestasi yang baik khususnya di Pulau Pangkor.

Katanya, walaupun kes COVID-19 masih menunjukkan turun naik, namun, itu tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di Perak.

"Pengusaha dan pemain industri lega apabila aktiviti pelancongan rancak terutamanya di Pulau Pangkor, Kuala Kangsar dan Ipoh.

"Penginapan hotel misalnya di Ipoh kita dapati 97 peratus penginapan hampir penuh ditempah," katanya.