IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima laporan berhubung penemuan bangkai harimau dahan di Kilometer 253.3, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat Taiping, semalam.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, siasatan pihaknya mendapati mamalia yang nama saintifiknya, Neofelis Nebulosa itu dipercayai telah mati dilanggar kenderaan di lokasi kejadian.

Menurutnya, harimau jantan seberat 20 kilogram itu dianggarkan berusia lima tahun dan pihaknya telah mengambil bangkai haiwan itu, petang semalam.

"Kita percaya haiwan liar ini telah mati dua hari sebelumnya berdasarkan keadaan bangkai yang telah kembung dan busuk," katanya di sini pada Khamis.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 22 saat di media sosial memaparkan bangkai seekor harimau dahan ditemui dekat besi penghadang jalan.

Kejadian dipercayai merupakan kemalangan pertama melibatkan hidupan liar di Seksyen 11 WCE selepas dibuka kepada pengguna pada 12 Mac lalu.

Jajaran sepanjang 35.5 km itu terdapat lintasan hidupan liar di laluan lebuhraya berkenaan yang dibina khas merentasi Hutan Simpan Bubu, untuk memastikan ekosistem binatang liar kekal terpelihara.