MALAYSIA
Bangkit selepas COVID-19, PICCA sedia pentas gemilang sambutan Hari Malaysia 2025

PICCA siap sepenuhnya pada 2022 selepas projek itu terhenti seketika akibat pandemik COVID-19. Ia kini muncul sebagai antara pentas acara terbesar di utara tanah air. - Foto: https://picca.com.my/
BUTTERWORTH: Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena bakal menjadi tumpuan negara apabila dipilih sebagai lokasi rasmi sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 Sept ini yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemilihan itu dibuat selepas Pulau Pinang diumumkan sebagai tuan rumah sambutan tahun ini, selaras dengan amalan penggiliran antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Terletak di tengah Butterworth dengan akses berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang, PICCA siap sepenuhnya pada 2022 selepas projek itu terhenti seketika akibat pandemik COVID-19. Ia kini muncul sebagai antara pentas acara terbesar di utara tanah air.
Ketua Pegawai Operasi Island LandCap Hospitality Sdn Bhd, James Chang berkata PICCA mula beroperasi secara berperingkat selepas syarikatnya mengambil alih pengurusan pada 2023."Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 menjadi ujian pertama kami. Pasukan perlu memastikan kemudahan asas seperti internet, bekalan elektrik dan sistem sokongan siaran langsung televisyen berfungsi sempurna," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama, baru-baru ini.
Sejak itu, PICCA menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai acara termasuk pameran antarabangsa, festival kecantikan, majlis rasmi kerajaan serta Sambutan Aidilfitri MADANI pada April lepas.
Dengan keluasan 17,828 meter persegi, PICCA mencatat lebih 50 penganjuran acara setakat ini melibatkan persidangan, konvokesyen, majlis anugerah, konsert, makan malam korporat dan perkahwinan berbilang kaum.
Pusat konvensyen dua tingkat itu dilengkapi tiga dewan utama yang boleh digabungkan bagi menampung sehingga 10,000 tetamu, empat bilik acara berkapasiti 1,000 orang serta lebih 1,000 petak parkir.
Antara pengiktirafan yang diterima termasuk Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori 'Largest Participation in a Claypot Meal Eating Session' dengan penyertaan 2,500 peserta, selain Anugerah Merit Kecemerlangan Pusat Konvensyen dan Pameran Binaan di Anugerah Acara Perniagaan Malaysia (MBEA) 2025, Ogos lepas.
James berkata PICCA menekankan aspek kulinari dengan semua juadah disediakan penyedia makanan bertauliah dan memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), merangkumi masakan Melayu, Cina, India serta Barat.
Mengulas persiapan sambutan Hari Malaysia, beliau berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan polis bagi memperhalusi aspek keselamatan dan pengurusan lalu lintas.
Acara bersejarah itu dijadual bermula pukul 8.30 malam dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami