GEORGE TOWN: Bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut yang dijangka siap pada 2026, bakal menjadi mercu tanda kedaulatan undang-undang syariah di negeri ini seterusnya memastikan kecekapan sistem penyampaian kehakiman untuk manfaat masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata bangunan itu direka bentuk berinspirasikan perpustakaan maya dan bercirikan seni bina Islam moden.

Beliau berkata projek kerajaan negeri bernilai RM15 juta itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana dan pembinaan bakal bermula April ini.

"Dengan terbinanya bangunan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut ini maka lengkaplah keseluruhan bangunan mahkamah rendah syariah di setiap daerah seluruh negeri Pulau Pinang, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan institusi Islam di negeri Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pembinaan bangunan itu di sini, pada Khamis.

Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah negeri Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab.

Mohamad berkata bangunan tiga tingkat itu bakal berfungsi sebagai sebuah kompleks mahkamah mesra pengguna yang dilengkapi dua dewan perbicaraan, sebuah dewan serba guna, bilik mediasi, bilik peguam, bilik pendakwa, bilik perbincangan, bilik Hadhanah dan bilik barang kes.

Selain itu katanya projek berkenaan turut merangkumi kerja-kerja membaik pulih banglo sedia ada yang terletak bersebelahan Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang yang telah digazetkan sebagai bangunan warisan.

-- BERNAMA