JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan didakwa gagal menyelenggara kemudahan asas dan infrastruktur di Johor yang dilihat seperti terabai serta tidak terurus.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, bangunan kerajaan pusat antaranya Wisma Persekutuan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sudah usang malah menjejaskan imej Johor.

"Banyak bangunan dan kemudahan Persekutuan yang gagal diuruskan dengan baik hingga mencemarkan pemandangan yang menyakitkan mata.

"Sepatutnya bangunan dan infrastruktur itu dibaik pulih dan dinaik taraf apatah lagi di Wisma Persekutuan itu menempatkan pengarah-pengarah dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

"Oleh itu, adalah wajar untuk mengangkat martabat mereka dan bukannya diletakkan di bangunan yang usang, tambah baiklah bangunan itu menjadi lebih elok," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall di sini pada Sabtu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis, melahirkan rasa sedih dengan kerajaan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur awam di negeri ini.

"Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA, HSI, Kompleks CIQ (Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin) di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

"Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuhraya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yang rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.

"Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri," titah baginda.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian