GUA MUSANG: Hujan berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan laluan utama yang menghubungkan penempatan masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq dan Bateq di Pos Lebir, di sini, dengan Sungai Sam, Kuala Krai ditenggelami air.

Penghulu Kampung Pasir Linggi di sini Harun Ismail berkata kejadian itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan perahu untuk menyeberangi kawasan yang digenangi air, masing-masing dari limpahan Sungai Jerek, Sungai Linggi dan dua cabang Sungai Kelkok.

Beliau berkata berkata 110 keluarga dari Kampung Pasir Linggi serta Kampung Machang terkandas dan bergilir-gilir menggunakan tiga perahu yang ditempatkan di setiap kawasan terlibat.

"Kira-kira 500 penduduk suku kaum Mendriq dan Bateq di Pos Lebir di sini tidak dapat keluar dari penempatan kerana tiada laluan alternatif untuk keluar. Kita semakin risau kerana hujan masih berterusan hingga kini dan paras air semakin tinggi.

"Disebabkan itu kami sudah mula membina khemah dan pondok sementara di tempat yang tinggi sebagai persediaan, walaupun terdapat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi," katanya ketika ditemui pemberita, di Pos Lebir, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Mohd Alang Sakarwi, 45, dari Kampung Machang pula berkata paras air yang tinggi ketika ini membuatkan mereka perlu mengendalikan perahu dengan berhati-hati.

Bagaimanapun katanya penduduk bersyukur kerana telah mendapat bantuan bekalan makanan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terlebih dahulu sebelum kejadian.

"Hari ini merupakan hari keempat penduduk terkurung dan sepanjang tempoh ini kami bergantung kepada makanan yang telah dihantar pihak NADMA sebagai persediaan menghadapi banjir kira-kira sebulan yang lalu," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan turut turun padang meninjau keadaan jalan di kawasan limpahan Sungai Jerek serta menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di sini.

Zarina berkata berdasarkan tinjauan dan pemantauan yang telah dilakukan, beliau mendapati keselamatan masyarakat Orang Asli Pos Lebir adalah terkawal.

"Kita beruntung kerana mempunyai Pengerusi JPKKOA serta penghulu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan laporan kepada JAKOA untuk diambil tindakan.

-- BERNAMA