Banjir: 180 mangsa dipindahkan ke PPS di Perak

Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga setakat 9 malam ini. - Facebook Atie Wati Ikornin.
IPOH: Perak dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak pagi tadi membabitkan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga setakat 9 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak memaklumkan PPS Dewan Orang Ramai Simpang Halt di LMS dibuka pada 7.30 malam, dengan proses pemindahan mangsa dan keluarga masih dijalankan.
Bagi daerah Manjung, PPS Sekolah Sungai Batu, Pantai Remis telah dibuka pada 8 malam yang menempatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga susulan kediaman mereka di Kampung Sungai Batu dan Kampung Nelayan terjejas banjir.
PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru pula dibuka pada 8.30 malam dan proses pemindahan mangsa dari Kampung Padang Serai masih dilaksanakan.Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan bacaan paras air Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang (RHN), Kampar berada pada tahap amaran dengan paras 22.5 meter (m) berbanding tahap normal iaitu 21.41m.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan di kesemua daerah pada malam ini kecuali Kerian, Manjung, Perak Tengah dan Bagan Datuk.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami