TELUK INTAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap, dekat sini, ditutup apabila banjir yang melanda tiga kawasan di Changkat Jong kini beransur pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, penutupan itu bermula 3 petang ini selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, penghulu, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang bertungkus-lumus terlibat membantu dan menyelaras selia PPS dengan terbaik sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

PPS di dewan MPTI Langkap dibuka pada Isnin bagi menempatkan 21 mangsa banjir dari tiga kawasan.

Tiga kawasan itu ialah Lorong Kedah, Lorong Sidang Osman dan Kampung Baru Batu 8.

Banjir di kawasan itu berpunca daripada limpahan air dari Sungai Sungkai, Sungai Sungkai Hidup dan Sungai Sungkai Mati selepas hujan lebat dikatakan turun di kawasan Sungkai, semalam.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan air pasang besar, yang menolak kembali aliran air ketiga-tiga sungai berkenaan, menyebabkannya melimpah ke kawasan rendah.