KUCHING:Seramai 646 mangsa yang terlibat dengan banjir kilat di tiga daerah iaitu Kuching, Serian dan Miri telah dipindahkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sarawak.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setakat pukul 8 malam Rabu, kesemua mangsa dari 170 keluarga itu telah selamat ditempatkan di enam PPS di Kuching, dua di Miri dan satu di Serian.

Jelasnya, PPS yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir ialah PPS Dewan Kampung Betong, Kanowit, Dewan Serbaguna Kampung Batu 1, Balai Raya Taman Desa Wira dan Dewan Serbaguna Taman Malihah.

Mengikut laporan sama, setakat ini, daerah Kuching mencatatkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 515 mangsa daripada 1140 keluarga terlibat. Mereka terdiri daripada penduduk empat buah kampung. 

Selain APM, operasi pemindahan turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus memastikan PPS dan khemah yang digunakan selamat serta memenuhi kehendak Standard Operasi Prosedur (SOP) COVID-19.

Dalam perkembangan lain, pihak yang terlibat akan terus bersiap siaga memantau kawasan berisiko dilanda banjir di seluruh negeri. Antaranya, daerah Mukah, Daro dan Bintulu.

Terdahulu hujan lebat luar biasa melanda seluruh negeri itu dalam tempoh 24 jam mengakibatkan beberapa kawasan rendah dinaiki air terutama kawasan berhampiran tebingan sungai.

BACA: Kuching dilanda banjir kilat awal pagi