JOHOR BAHRU: Satu kejadian gelongsoran tebing tanah berlaku di Felda Sungai Sayong, Bukit Besar, Kota Tinggi, awal pagi tadi, susulan hujan lebat berterusan sejak pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi Rabu, namun tiada kecederaan dilaporkan.

"Gelongsoran di bahagian belakang premis telah menjejaskan struktur binaan empat buah premis kedai, namun anggaran kerugian sebenar masih belum diketahui.

"Pemerhatian awal di lokasi kejadian mendapati kedudukan geografi premis berada lebih kurang lima meter dari kawasan cerun," kata beliau dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak menjadikan bencana banjir ini sebagai pesta air, serta mengambil tahu bahaya yang dibawa oleh air banjir kepada keselamatan dan kesihatan diri.

"Ibu bapa perlulah mengawasi keselamatan dan mengambil tahu keberadaan anak jagaan masing-masing.

"Selain itu, pemandu kenderaan juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu malam, dengan mematuhi papan tanda amaran serta lencongan yang ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas banjir," kata Hussin lagi.

Setakat ini, empat jalan raya di daerah itu masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang (Arked Mara), Jalan Tun Sri Lanang (Bandar Kota Tinggi), Jalan Kampung Kelantan/Kampung Panti dan Jalan Mawai Lama (Rumah Burung).

Sementara itu, Jalan Sungai Sayong (Loji Sayong) ditutup untuk semua kenderaan ringan kerana arus deras pada ketika ini, tambah Hussin.

-- BERNAMA