HULU LANGAT: Kesempatan cuti umum Krismas yang kebetulan jatuh pada hujung minggu dimanfaatkan oleh sejumlah sukarelawan yang membanjiri Hulu Langat.

Datang secara berkumpulan, kebanyakan sukarelawan yang kelihatan di kawasan bencana alam itu ada yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, agak luar biasa jumlah kehadirsna mereka di setiap premis di seluruh kawasan bencana daerah itu bagi menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk barangan dan juga keringat membersihkan kediaman yang terjejas akibat banjir tempoh hari.

Kebanjiran sukarelawan bersama kenderaan mereka menyebabkan laluan di sepanjang jalan menghala ke arah itu sesak

Seorang sukarelawan yang ditemui, Sri Manja Sabri, 34, berkata, dia beserta kumpulannya berada di kawasan bencana itu seawall pukul 8 pagi bagi tujuan menjalankan kerja-kerja pembersihan di Batu 18 di sini.

Katanya, cabaran yang dihadapi para sukarelawan dalam pembersihan rumah terjejas akibat banjir adalah lumpur tebal selain tekanan air yang rendah sekali gus merumitkan kerja-kerja itu.

"Kumpulan kami dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk melakukan proses pembersihan lebih menyeluruh. Untuk setiap satu rumah proses pembersihan memakan masa antara dua hingga tiga jam," kata Sri Manja berkongsi pengalamannya dengan Astro AWANI.




[LAPOR LANGSUNG] Banjir ragut 46 nyawa, lebih 54,500 mangsa masih di PPS

Sehingga pukul 3 petang tadi, kumpulannya itu telah membersihkan 10 buah rumah mangsa banjir di sini.

Kumpulannya itu turut mengangkut segala peralatan pembersihan dengan menggunakan 12 buah kenderaan pacuan empat roda serta dua van.

Dalam masa sama, Sri Manja juga berharap agar sumbangan tenaga yang diberikan orang ramai mampu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana banjir di sini.

Tinjauan Astro AWANI juga mendapati puluhan kumpulan lain turut bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan tersebut.