KUALA BERANG: Seorang wanita yang baru dimasukkan ke hospital semalam akibat tekanan darah rendah dan jangkitan kuman pada buah pinggang berkeras mahu mendaftar keluar kerana khuatir keadaan tiga anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) setelah rumah mereka dilanda banjir.

Wan Norzaimah Muhammad, 46, dari Kampung Pengkalan Ajal, di sini berkata beliau tiada pilihan selain meminta budi bicara pihak hospital apabila mengenangkan keadaan tiga daripada enam anaknya itu termasuk anak bongsu, Nor Al-Annur Aisyah, 5, yang menghidap penyakit asma kritikal.

Setelah berbincang dengan pihak hospital, dia yang juga menghidap kanser payu dara bersyukur kerana diberikan kebenaran untuk keluar selain turut dibekalkan ubat-ubatan untuk diambil sepanjang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Apabila dimaklumkan rumah saya dilanda banjir, saya terus minta kebenaran doktor untuk pulang sebab sangat risau keadaan mereka di rumah.

"Sebaik sahaja doktor beri kebenaran, saya terus balik ke rumah bersama suami, Muhammad Nasrullah Aliah, 35, untuk ambil anak-anak dan terus ke PPS di Masjid Kampung Pengkalan Ajal, malam tadi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tiga anak Wan Nurzaimah iaitu Kamaruddin, 22, yang juga anak sulong merupakan OKU pelbagai termasuk penglihatan dengan pergerakan terbatas, Fitri Nurliyana, 18, (OKU intelektual dan penghidap Noonan Syndrome) dan Muhammad Ariff, 16, (OKU intelektual).

Wan Norzaimah yang kelihatan masih kurang bermaya berkata agak sukar untuk tinggal di PPS tersebut kerana untuk bergerak dia terpaksa berpaut pada dinding.

"Alhamdulillah, pihak pengurusan PPS memahami dan memberikan saya satu khemah khas atas faktor kesihatan serta keselesaan saya," katanya sambil menambah ini merupakan pengalaman pertamanya menghuni di PPS.

Wanita yang mengusahakan kedai makan itu, berkata sebelum ini dia sekeluarga sempat keluar dari kampung tersebut yang hampir setiap tahun dilanda banjir, tetapi kali ini gagal berbuat demikian apabila Nor Al-Annur Aisyah diserang asma kronik Jumaat lepas.

"Apa-apa pun saya bersyukur kerana urusan saya dipermudahkan semua pihak baik daripada pihak hospital, pengurusan PPS dan mangsa banjir yang menghuni di sini," katanya yang dikehendaki kembali semula ke hospital untuk menyambung rawatan sebaik sahaja banjir pulih.

Sementara itu, sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan lima PPS telah dibuka di daerah Hulu Terengganu dengan bilangan mangsa seramai 277 orang daripada 107 keluarga setakat 6 petang tadi.

Selain Hulu Terengganu, turut terjejas dengan banjir gelombang ketiga kali ini ialah Dungun yang mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 346 orang, Setiu (65 orang), dan Marang (12 orang) menjadikan keseluruhan mangsa banjir di Terengganu seramai 700 orang.

-- BERNAMA