PUTRAJAYA: "Abang, boleh datang periksa elektrik rumah saya? Abang, betul ke periksa elektrik percuma sahaja?".

Itu antara persoalan diterima Jegan Perumal, 32, yang menawarkan perkhidmatan memeriksa pendawaian elektrik secara percuma kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam sepanjang minggu lepas.

Pengarah JP Global Engineering yang mempromosikan khidmat percuma melalui Tiktok dan laman sosialnya itu sanggup menghentikan sementara operasi perniagaannya di Mantin, Negeri Sembilan, selama lima hari bermula 21 Dis bagi memberi tumpuan kepada khidmat sukarela ini.

"Saya lihat ramai yang buat macam-macam tugas sukarelawan seperti mencuci rumah, menghantar makanan dan sebagainya. Saya terfikir aspek keselamatan elektrik juga amat penting berikutan tidak tahu mengenai tahap kerosakan elektrik pascabanjir," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Jegan yang berasal dari Gua Musang, Kelantan, beliau yang bergerak secara persendirian bagi memberikan khidmat itu telah memeriksa sistem pendawaian di 52 buah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam setakat ini, dengan pemeriksaan tertinggi sebanyak 28 rumah sehari pada 25 Dis lepas.



Katanya, perkhidmatan diberikan adalah berdasarkan permintaan individu yang menghubunginya, dan beliau masih lagi menerima permintaan pemeriksaan percuma dari kawasan Sepang dan ada juga yang jauh dari Bentong, Pahang.

Jegan memperuntukkan waktu minimum 15 minit bagi memeriksa setiap rumah dengan menggunakan penguji soket dan ada rumah pula mencecah dua jam (untuk diperiksa) bergantung kepada tahap kritikal kerosakan elektrik.

Penguji soket berfungsi sebagai alat uji yang digunakan untuk menguji sesuatu susunan pendawaian dalam alir soket bagi menentukan ia berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.

"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, hampir 90 peratus rumah tidak mematuhi piawaian elektrik yang ditetapkan iaitu rata-rata mereka menyambung terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket, terutamanya di dapur.

"Beban litar elektrik boleh menyebabkan litar pintas dan menjadi punca utama kebakaran," kata Jegan yang turut menyalurkan khidmat nasihat bagi isi rumah yang didapati menggunakan kapasiti elektrik berlebihan.

Di sebalik khidmat diberikan, Jegan berkata beliau menyaksikan sendiri sifat kerjasama dan inisiatif bersatu-padu wujud antara puluhan sukarelawan yang turun padang menyantuni mangsa banjir seperti mencuci rumah dan menghantar bekalan makanan serta pakaian.

"Mereka mungkin tidak kenal antara satu sama lain namun setiap khidmat diberikan dilakukan dengan ikhlas dan sepenuh hati.

"Ada juga mangsa banjir menghulurkan duit bagi membayar perkhidmatan saya walapun mereka sendiri berdepan kesusahan namun setelah saya terangkan pada mereka bahawa ia adalah percuma, mereka amat berterima kasih kepada saya," kata Jegan.

-- BERNAMA