JOHOR BAHRU: Johor mula dilanda banjir dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah setakat jam 1 tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua PPS di Kluang, Kota Tinggi dan Segamat itu kini menempatkan 120 keluarga terdiri daripada 422 orang penduduk dari lapan kawasan yang terjejas.

Katanya semua PPS itu mula dibuka antara jam 11 pagi hingga 2 petang tadi.

"Segamat mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 347 orang dari 105 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, iaitu Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (104 orang), Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (68), Dewan Kg Sungai Gatom, Labis (59), Dewan Serbaguna Kota Segamat Kecil (99) dan Balairaya Kampung Seberang Batu Badak (17).

"Dua PPS dibuka di Kluang masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (8 orang) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming (18).

"Manakala di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 41 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Karas, Labis. - Foto JBPM

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia berkenaan Monsun Timur Laut (MTL), Johor antara yang berada dalam amaran bahaya dan buruk sehingga esok.

Dilaporkan, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru berada dalam amaran bahaya yang mana dijangka menerima hujan yang sangat lebat secara berterusan.

Manakala, Segamat, Batu Pahat dan Pontian pula diberikan amaran buruk iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku.